RSS

TANGGUNGJAWAB WANITA ISLAM

01 Sep

[Tujuan bahan ini adalah untuk mendedahkan kepada wanita muslimah, khususnya wanita yang mengambil masuliyah da’wah, akan tanggungjawab mereka yang luas dan seimbang dalam pelbagai aspek]

TANGGUNGJAWAB WANITA ISLAM

haluanitaSeorang wanita Islam perlulah memahami kedudukannya sebagai wanita muslimah, sentiasa bermatlamat mencari keredhaan Allah s.w.t. dan iltizam melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawabnya dalam ruang lingkup yang ditentukan syara’.

Justeru itu wanita muslimah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai persiapan. Wanita muslimah perlu memiliki thaqafah. Thaqafah yang dimaksudkan ialah ‘thaqafah syar’iyyah’ iaitu thaqafah yang berkaitan dengan hukum-hukum syara’ terutamanya yang menyentuh fardhu ‘ain (kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap individu muslimah) dan ‘thaqafah ma’sirah’ iaitu thaqafah yang berkaitan dengan pengetahuan semasa seperti sejarah, peristiwa yang berlaku di negara kita dan juga di luar negara.

Wanita muslimah juga berkewajipan melengkapkan diri dengan dengan akhlak yang mulia dan kemahiran-kemahiran tertentu agar  ia benar-benar ahli dalam melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawabnya, untuk dirinya dan masyarakatnya.

Penjelasan lanjut tanggungjawab-tanggungjawab wanita muslimah ialah:

1)    Tanggungjawab terhadap din

Maksud tanggungjawab terhadap din ialah :

a)    Wanita muslimah hendaklah beriman kepada Allah s.w.t dengan keimanan yang sampai ke peringkat  benar-benar yakin. Juga, keimanan yang sampai ke peringkat tama’ninah (kepuasan) mengambil tempat di dalam hatinya. Juga, keimanan yang memandu  ruh atau hatinya untuk mengatur fikiran dan amalannya dengan kebenaran atau al-haq.

Wanita muslimah perlulah memiliki keyakinan yang sampai ke peringkat ia melihat dan merasai bahawa setiap sesuatu di dalam kehidupannya mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t.. Sekiranya ia sering melupakan Allah s.w.t. dalam menjalani aktiviti-aktiviti hidupnya bermakna keyakinannya belum mencapai keyakinan yang sebenarnya. Dia belum melalui proses tarbiyah yang betul. Keyakinannya belum benar-benar jelas dan belum benar-benar berfungsi dalam kehidupannya.
Wanita muslimah yang mempunyai keyakinan yang jelas akan bertajarrud liLlah s.w.t. (yakni setiap tindakannya adalah kerana   Allah s.w.t. semata-mata).

b)    Wanita muslimah hendaklah yakin terhadap hari akhirat. Dia mestilah merasakan bahawa akhirat adalah matlamat akhir kehidupannya. Hatinya mestilah betul-betul dibentuk dan dipenuhi dengan iman supaya mendapat jaminan kebahgiaan apabila sampai ke matlamat akhir (akhirat).

Masyarakat hari ini tidak memberi perhatian kepada kehidupan akhirat kerana mereka sebok memberi perhatian kepada kehidupan dunia. Mereka tidak lagi memiliki hati nurani yang bersih yang membolehkan mereka melihat dan menyaksikan kehidupan akhirat.

Lemahnya keyakinan kepada akhirat inilah yang menyebabkan  berlaku banyak penyelewengan dalam kehidupan umat Islam hari ini. Walaupun mereka mendakwa mereka yakin kepada akhirat dan menghafal ‘rukun beriman kepada hari akhirat’, namun kehidupan mereka jelas menunjuk tidak berfungsinya keimanan kepada hari akhirat.

Bagaimanakah kita dapat membina keimanan kepada hari akhirat sehingga seolah-olah kita dapat menyaksikan  siksaan Allah s.w.t dan nikmat Allah s.w.t di alam akhirat?.

Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang memperkatakan tentang azab dan nikmat Allah s.w.t. di akhirat. Generasi awal yang telah dididik oleh Rasulullah s.a.w., manakala mereka membaca dan melafazkan ayat-ayat tersebut, maka mereka terus nampak dan yakin akan hari akhirat. Mereka  terus melaksanakan tuntutan beriman kepada hari akhirat di dalam kehidupan mereka di dunia.

Dalam hal ini, jiwa kita mestilah diproses dengan tarbiyah yang betul supaya benar-benar menerima hakikat beriman kepada hari akhirat. Pepatah Arab ada berbunyi (yang bermaksud)

‘Tidak ada kampung selepas kematian ini untuk seseorang itu tinggal di dalamnya, melainkan apa yang telah dibina dengan amalan-amalannya’.

Malangnya, keyakinan kepada hari akhirat seperti yang dinyatakan di atas tidak lagi wujud dalam masyarakat sekarang. Meskipun ayat Allah s.w.t. dilafazkan kepada mereka, namun ia tidak masuk ke dalam jiwa mereka, tidak terlintas di dalam fikiran mereka dan tidak berkesan di hati mereka.

c)    Wanita muslimah hendaklah meneliti betul-betul akan perintah-perintah Allah s.w.t. samada yang bersangkutan dengan suruhan mahupun  tegahan-Nya. Dia hendaklah melaksanakan semua suruhan Allah s.w.t. dan meninggalkan semua tegahan Allah s.w.t., tanpa cuai.

Itulah antara kewajipan wanita muslimah terhadap dinnya. Banyak lagi kewajipan terhadap din yang perlu dilaksanakan. Perkara-perkara di atas hanya beberapa contoh kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap wanita muslimah.

Untuk menjalankan kewajipan terhadap din, memerlukan kepada pemahaman dan penelitian. Kewajipan terhadap din tidak akan dapat dijalankan tanpa kesungguhan untuk memahami dan meneliti ajaran Allah s.w.t..

Adakah  masyarakat hari ini  benar-benar meneliti suruhan-suruhan dan tegahan-tegahan Allah s.w.t?. Jika sekiranya mereka meneliti sedemikian, maka tentulah tidak akan wujud amalan jahiliyah yang bertaburan di merata-rata tempat.

Penelitian yang bersungguh-sungguh terhadap ajaran Allah s.wt., akan melahirkan kefahaman dan kesedaran yang betul pada jiwa umat Islam. Kesedaran dan kefahaman yang betul akan mengelakkan umat Islam daripada mencampurkan Islam dengan jahiliyah dalam pelbagai aktiviti hidup. Malangnya, realiti yang sering berlaku, masyarakat merasakan ada hubungan dengan Allah s.w.t. dan akhirat ketika solah, tetapi selepas solah mereka bergelumang dengan pelbagai amalan jahiliyah.

Penelitian yang bersungguh-sungguh akan dapat mengatasi permasalahan ‘Islam diterima melalui adat dan warisan’ sahaja. Islam itu sewajibnya diterima melalui kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul. Islam itu mesti diterima sepertimana ia diterima oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.. Manusia tidak ada hak untuk mengubah din Allah s.w.t..

Kadang-kadang berlaku dalam realiti masyarakat, di mana mereka ‘menyerahkan masa depan kepada takdir’ tanpa mengambil jalan usaha yang bersungguh-sungguh. Janganlah kita memilih takdir yang buruk dan tidak baik  kerana kita telah diberi oleh Allah s.w.t. tenaga dan akal fikiran yang waras. Tidak patut bagi seorang yang mempunyai akal fikiran yang waras menerima takdirnya yang berkesudahan dengan neraka. Sebaliknya tentulah dia mahu takdir yang baik yang berkesudahan dengan nikmat dan syurga. Pendek kata kita perlu berusaha dan berdoa agar menerima takdir yang sebaik-baiknya daripada Allah s.w.t..

2)    Tanggungjawab terhadap akal fikiran

Wanita muslimah hendaklah membekalkan akal fikirannya dengan ma’rifah Allah s.w.t. sebagai punca bagi segala ilmu yang lain. Sekiranya ma’rifah ini tidak ada, maka ilmu lain akan mengambil tempat yang utama di dalam akal fikiran.

Banyak bidang ilmu pada hari ini telah menjadi sesat kerana tidak dilandaskan dengan ma’rifah Allah s.w.t.. Apabila induk ma’rifah  tidak jelas, maka ma’rifah yang lain akan menjadi induk kepada ilmu pengetahuan. Justeru itu lahirlah keangkuhan seperti yang sering berlaku dalam masyarakat. Orang yang berilmu bermegah dengan ilmunya. Ilmunya digunakan untuk menekan manusia lain. Berlakulah kezaliman dan penindasan di kalangan masyarakat manusia kerana memahami ilmu tidak dengan cara yang betul.

Seandainya ma’rifah Allah s.w.t. menjadi punca kepada ilmu yang lain, maka akan tunduklah semua ilmu kepada ma’rifah Allah s.w.t.. Ilmu akan difahami dengan baik. Tidak ada orang yang berilmu akan menjadi angkuh, megah, sombong dan takbur. Tidak ada orang yang berilmu akan mempergunakan ilmunya untuk kepentingan dirinya. Sebaliknya orang berilmu akan menggunakan ilmunya sepertimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.. Begitulah tugas seorang wanita muslimah dalam mendapatkan ilmu.

Ma’rifah Allah s.w.t. mestilah bermula dengan keimanan yang betul kepada Allah s.w.t. dan kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain. Ma’rifah Allah s.w.t. mestilah diambil dari sumber-sumbernya yang sahih iaitu al-Quran al-Karim, sunnah Rasulullah s.a.w. dan sirah Rasulullah s.a.w. Ma’rifah Allah s.w.t. tidak boleh diambil dari sumber yang lain. Kalau diambil dari sumber yang lain, tidak akan berjumpa ma’rifah Allah s.w.t. yang sebenarnya. Maka akan berlakukan kesesatan.

Banyak manusia di hari ini, meskipun berilmu pengetahuan tinggi, namun terdapat penyelewengan kerana ilmu mereka tidak berindukkan ma’rifah Allah s.w.t. Seandainya kita menerima ilmu seperti mereka, maka kita pun akan turut menyeleweng dan tidak akan tidak nampak penyelewengan mereka. Bahkan mungkin kita akan berbangga dengan mereka. Kita akan kagum dan takut dengan ma’rifah mereka. Kita akan menjadi orang yang takut kepada selain daripada Allah s.w.t., seperti takut kepada CIA. Takutkan CIA kerana menganggap mereka pandai, cekap dan sebagainya. Kita  tidak menjadi orang yang takut kepada Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui segala sesuatu dan segala yang ada dalam jiwa manusia.

Sekiranya kita tidak mencari ma’rifah yang induk, yakni ma’rifah Allah s.w.t. terlebih dahulu, maka ma’rifah lain akan rosak. Terdapat ma’rifah lain yang menafikan kewujudan Allah s.w.t.. Komunis misalnya, ma’rifahnya menolak kewujudan Allah s.w.t.. Suatu masa dahulu, seorang pemimpin Russia dengan ilmunya, menolak kewujudan Allah s.w.t.. Russia telah pergi ke angkasa lepas untuk melihat tuhan. Apabila mereka ‘tidak nampak tuhan’ di angkasa lepas, maka pemimpin tersebut berkata, ‘Tuhan tidak ada’. Terjadi sebegini kerana ilmu yang ada padanya itu tidak  tunduk kepada ma’rifah Allah s.w.t..  Oleh itu hendaklah kita meyakini bahawa ma’rifah Allah s.w.t. adalah punca bagi segala ilmu yang lain.

Begitulah juga seorang wanita muslimah hendaklah mengetahui sejarah Islam, peperangan dalam Islam, siasah dalam Islam dan pelbagai kegiatan ‘aqli dalam Islam. Pada masa yang sama wanita muslimah hendaklah bermujahadah untuk mendidik jiwa dan melengkapkan diri dengan sifat-sifat yang baik.

Dengan memiliki ilmu seumpama itu barulah seorang wanita muslimah boleh melahirkan ‘tasdiq amali ‘ iaitu melahirkan amalan dalam kehidupan. Kita tidak mahu ilmu menjadi ilmu semata-mata atau perhiasan otak yang tidak terlaksana dalam kehidupan. Atau, ilmu menjadi bahan perbincangan untuk memuaskan kehendak otak atau akal sahaja tanpa dilahirkan dalam bentuk kenyataan hidup. Ilmu seumpama ini adalah ilmu yang kurang bermanfa’at dan  tidak berindukkan kepada ma’rifah Allah s.w.t.

Seterusnya wanita muslimah perlu mendalami ilmu realiti,  ekonomi, kesihatan, sains dan seumpamanya. Semua ilmu ini diperlukan oleh wanita-wanita Islam kerana bukan lelaki sahaja yang ditaklifkan  melaksanakan amal Islami tetapi wanita juga dituntut sedemikian. Cuma skop perlaksanaan amal Islami bagi wanita disesuaikan oleh Islam dengan fitrah kewanitaan mereka.

Kemampuan wanita Islam untuk melaksanakan amal Islami akan diukur pada tahap kemampuan ilmunya, di samping keutuhan imannya dan kemantapan akhlaknya. Sebagai contohnya Sayidatina Aisyah, beliau sangat memahami ilmu syara’ dan ilmu realiti. Apabila para sahabat bertanyakan kepada beliau tentang hukum, beliau dapat memberikan fatwa.

Sebagai kesimpulannya, wanita muslimah perlu memiliki thaqafah istibanah. Thaqafah istibanah terbahagi kepada dua iaitu ilmu syara’ dan  ilmu waqi’ (ilmu realiti). Gabungan antara ilmu syara’ dan ilmu waqi’ sangat diperlukan supaya wanita muslimah dapat menilai dan membuat keputusan yang betul terhadap sesuatu perkara atau permasalahan. Oleh itu adalah perlu bagi seorang wanita muslimah membaca akhbar harian, majalan bulanan dan seumpamanya untuk memahami ilmu waqi’.

Sekiranya waqi’ atau realiti tidak diketahui, maka adalah sukar bagi seseorang untuk menghukum. Para sahabat Rasulullah s.a.w. dan wanita-wanita Islam di zaman awal Islam mengetahui secara terperinci tentang realiti. Misalnya, Asma’ binti Abu Bakr memahami tentang realiti. Fatimah binti al-Khattab, orang yang cergas dalam kegiatan Islam di zaman generasi pertama Islam bukan sahaja memahami secara terperinci tentang realiti, bahkan memahami siasah harakah yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w.. Wanita muslimah hari ini perlu mencontohi mereka.

3)    Tanggungjawab terhadap rumahtangga

Dalam usaha untuk mewujudkan rumahtangga Islam, maka hendaklah rumahtangga itu berasaskan taqwa kepada Allah s.w.t. sejak di hari pertama lagi. Tidak boleh ia berasaskan adat, nafsu atau nilai-nilai masyarakat. Pada hari ini ternyata kebanyakan rumahtangga ditegakkan di atas asas yang lain daripada taqwa kepada Allah s.w.t..

Rumahtangga muslim hendaklah menjadi rumahtangga yang dipenuhi dengan ruh yang diredhai oleh Allah s.w.t..

Hendaklah dalam rumahtangga muslim itu dimakmurkan dengan bacaan ayat-ayat Allah s.w.t., mempelajari hikmah-hikmah Allah s.w.t. dan mengingati  Allah s.w.t..

Hendaklah segala tuntutan dan keperluan dalam rumahtangga itu berada di dalam batas yang mencukupi -  tidak berlebihan dan tidak pula kurang. Segala keperluannya dipenuhi dengan cara yang sederhana kerana tidak ada kebaikan di dalam pembaziran dan tidak ada pembaziran di dalam kebaikan. Al-i’tidal (kesederhanaan) dalam semua hal adalah sifat seorang muslim atau muslimah. Segala  urusannya sederhana kerana Islam adalah din wasath (din pilihan).

Janganlah seseorang itu bersifat keterlaluan di dalam menjalani kehidupan berrumahtangga. Namun bukanlah bermakna seseorang itu tidak boleh menggunakan nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t.. Sayidina Osman r.a. misalnya, kudanya, rumahnya dan hamparannya adalah lebih baik dan lebih cantik daripada apa yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w.. Ini kerana beliau lebih berkemampuan untuk menggunakan nikmat Allah s.w.t..

Menggunakan nikmat Allah s.w.t. adalah satu cara bersyukur kepada Allah s.w.t.. Yakni penggunaannya dizahirkan dalam rangka mensyukuri nikmat Allah s.w.t.. Oleh itu penggunaan nikmat Allah s.w.t. itu mestilah berdasarkan  iman dan bukan berdasarkan hawa nafsu. Sekiranya ia berdasarkan hawa nafsu, maka akan lahirlah sifat-sifat tercela seperti suka menunjuk-nunjuk.

4)    Tanggungjawab terhadap masyarakat

Sekiranya kita tidak berhubung dengan masyarakat, kita akan terpisah daripada masyarakat. Maka masyarakat yang kita pisahkan  itu tidak akan mengenali unsur-unsur atau nilai-nilai Islam. Kita mestilah bersama-sama dengan masyarakat dan melahirkan tindakan-tindakan Islam. Dengan cara itu  akan lahirlah dalam masyarakat amalan-amalan Islam.

Kita perlu berjuang bersungguh-sungguh untuk menegakkan kebenaran Allah s.w.t. di dalam masyarakat. Kita tidak perlu takut kepada ugutan dan gangguan demi  menegakkan kebenaran Allah s.w.t.. Sememangnya dalam usaha menegakkan kebenaran,  banyak ujian-ujiannya. Malah kadangkala ujian itu datang daripada orang-orang yang mengaku hendak membuat kebaikan.

Dalam melaksanakan kerja-kerja Islam dan membentuk kembali masyarakat Islam, perjuangan wanita muslimah adalah sangat perlu dan besar peranannya. Wanita muslimah perlu memahami fikrah Islamiyah, melaksanakannya dan menyampaikannya kepada manusia lain. Wanita muslimah perlu bergiat bersungguh-sungguh di dalam harakah Islamiyah.

Kini bilangan wanita yang mengakui Islam tetapi tidak memiliki kefahaman Islam yang sebenarnya sangatlah banyak. Kita memerlukan tenaga yang besar dari kalangan wanita-wanita muslimah yang sedar untuk memberikan kefahaman yang betul kepada masyarakat. Pada masa yang sama, wanita-wanita muslimah itu tidak takut dan tidak gentar kepada ugutan dan siksaan dari manusia yang jahil.

Sumber: Manhaj Tarbiyah At Takwim Jilid 1

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: