RSS

Penghayatan Nuzul Quran

05 Sep

al quran3Kita sekarang sedang berada di Bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan agung, bulan berkat, bulan diturunkan al-Qur’anul Karim, bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang fadhilatnya melebihi seribu bulan, bulan yang Allah s.w.t mewajibkan Umat Islam berpuasa pada siang hari dan disunatkan Qiamullail pada malam harinya.

Bercakap tentang al-Quran, maka di sana terdapat beberapa nama yang masyhur bagi kitab suci al-Quranul Karim seperti yang dijelaskan di dalam kitab-kitab Ulumul Qur’an, yang antaranya seperti apa yang telah dijelaskan oleh Dr Subhi Soleh dalam kitabnya Mabahis Fi Ulumul Quran bahawa nama-nama yang masyhur bagi al-Quran ialah al-Tanzil, az-Zikr, al-Furqan dan di samping itu terdapat lagi nama-nama lain bagi al-Quran yang dihubungkan dengan sifat-sifat al-Quran itu. Namun demikian al-Quranul Karim, walau apapun namanya dinamakan, al-Quran adalah Kalamullah yang penuh mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w, kemudian ditulis di dalam Mashaf, dipindahkan / disampaikan kepada umat ini secara mutawatir (yang mustahil berlaku pendustaan), membacanya menjadi ibadah, dan ada ulama’ lain menambah lagi dengan menyebut bahawa al-Quran dimulai dengan surah al-Fatihah dan ditutup dengan Surah an-Nas.

Al-Quran yang Allah s.w.t telah turunkan sekaligus pada malam lailatul Qadr ke langit dunia baitul ‘izah kemudian telahpun disampaikan kepada Rasulullah s.a.w secara beransur-ansur selama lebih kurang dua puluh tiga tahun itu bukan sebarang kitab, bukan kitab karangan makhluk / manusia, tetapi al Quran adalah Kitab Allah (kalamullah) yang tidak boleh sama sekali dipandang ringan (tidak boleh diabaikan,) bahkan wajib berIman kepada Kitab Allah kerana berIman kepada Kitab Allah itu adalah satu daripada Rukun Iman, sesiapa yang tidak yakin kepada Kitab Allah itu maka dikira kufur terhadap Allah s.w.t. Akibatnya pada Hari Qiamat nanti ia tergolong di dalam golongan orang yang rugi. Firman Allah s.w.t dalam ayat 121 Surah al Baqarah:

Maksudnya: “Orang-orang yang telah Kami (Allah) datangkan kitab kepada mereka, mereka itu membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka adalah orang-orang yang benar-benar berIman dengannya (dengan al Quran.) Sesiapa yang kufur (tidak mempercayainya) maka mereka itu adalah orang-orang yang rugi (di Hari Akhirat nanti)“

Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t bukan sia-sia, tetapi ada tujuan dan matlamatnya yang besar.

Sehubungan dengan ini Dr Solah Abdul Fatah al Khalidi dalam kitabnya Mafatih Lil Ta’amuli Ma’al al-Quran pernah menjelaskan bahawa sesungguhnya matlamat utama al-Quran hampir tidak terkeluar daripada empat perkara besar:

Pertama:

Membawa Hidayah / Pertunjuk kepada Jalan Allah s.w.t, pertunjuk yang benar (jalan yang betul) agar betul seluruh aspek kehidupan individu dan masyarakat (umat).

Mana ada lagi jalan yang betul selain daripada jalan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t (iaitu Islam). Firman Allah s.w.t dalam ayat 9 Surah al Isra’:

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya al Quran itu membawa / memberi pertunjuk / memimpin ke jalan yang benar dan menyampaikan berita gembira kepada orang-orangyang berIman serta melaksanakan amalan soleh bahawa mereka akan memperoleh ganjaran pahala yang besar” (pertunjuk / hidayah sebenarnya datang daripada Allah – Allah datangkan melalui al Quran.)“

Oleh itu untuk mendapat pertunjuk / hidayah tersebut, maka kita mestilah berIman dan menerima al Quran sebagai panduan dan pengatur hidup kita. Hanya orang yang datang mendekati al Quran dengan hati yang bertaqwa sahaja yang akan mendapat pertunjuk / bimbingan al Quran berdasarkan firman Allah dalam ayat 2 Surah al Baqarah:

Maksudnya: “Kitab al Quran itu tiada sebarang keraguan di dalamnya, memberi pertunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.“

Kedua:

Al-Quran bermatlamatkan untuk melahirkan / membentuk individu-individu yang bersahsiah Islam, berpindah daripada realiti jahiliyah yang buruk kepada Islam berpaksikan / berteraskan kepada iman / tauhid kepada Allah s.w.t.

Dan telahpun terbukti lahir jiwa-jiwa dan peribadi-peribadi mulia dalam generasi awal Islam / generasi sahabat Rasulullah s.a.w. Masing-masing telah menjadi ahli Quran (ahlu quran.) Hidup dengan al Quran dan di dalam ‘tarbiyah al Quran’.

Bermaksud: “Daripada Hasan al Basri Rahimahullah berkata bahawa sesungguhnya orang-orang sebelum kamu memandang al Quran sebagai Risalah daripada Allah s.w.t, mereka membacanya dengan penuh ‘tadabbur’ (perhatian) di waktu malam dan mereka melaksanakannya di waktu siang (yakni segera melaksanakannya.) “

Ketiga:

Al Quran juga bermatlamatkan melahirkan / membentuk masyarakat Islam Qurani (Jilnul Farid.)

Masyarakat yang terdiri daripada individu-individu yang terdidik dengan ajaran al Quran, membangun dengan prinsip dan arahan-arahan al Quran, berkembang di dalam suasana al Quran dan hidup di bawah naungan sinaran nur al Quran. Jika demikian barulah akan lahir masyarakat yang mulia serta mendapat Rahmat Allah s.w.t. Masyarakat seperti itu telahpun lahir dalam generasi awal Islam dibawah pimpinan dan bimbingan Rasulullah s.a.w sehingga telah mendapat pujian daripada Allah s.w.t di dalam al Quran ayat 110 Surah ali Imran :

Bagi masyarakat kini, sewajarnya memberi perhatian kepada ajaran al Quran yang sudah pasti benar sekiranya masyarakat kini ingin mendapat Rahmat dan Kurniaan-kurniaan Allah s.w.t. Perhatikanlah dan fahamilah ayat al Quran dalam Surah an Nisaa’ ayat 174 hingga 175:

Maksudnya: “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti kebenaran daripada ‘rab’ kamu (Allah s.w.t,) dan Kami (yakni Allah s.w.t) telah turunkan kepada kamu cahaya yang terang (yakni al Quran.) Adapun orang yang berIman kepada Allah serta berpegang teguh dengannya (dengan Deen Allah,) nescaya Allah s.w.t akan memasukkan mereka ke dalam RahmatNya (Rahmat Allah) dan kurniaan serta menunjukan mereka jalan yang lurus untuk sampai (atau kembali) kepadaNya (kepada Allah)“

Keempat:

Al Quran juga bermatlamatkan untuk melahirkan / membentuk kepimpinan ummat yang sentiasa merujuk dan mengikut panduan daripada wahyu Allah (al Quran,) mengikut arahan syara’.

Hal ini ternyata telah lahir kepimpinan dalam generasi awal Islam dahulu. Mereka sentiasa merujuk kepada wahyu Allah (al Quran,) merujuk kepada Rasulullah s.a.w atau dikenali sebagai Sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka sangat faham akan firman Allah s.w.t di dalam Surah al Ahzab ayat 36:

Bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi orang lelaki dan perempuan yang berIman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan / menentukan sesuatu ketetapan (tidak wajar) mereka memilih (pilihan lain) dalam urusan mereka. Dan sesiapa yang derhaka terhadap Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata (jelas.)“

Demikianlah empat perkara besar yang menjadi matlamat al Quran tanzilkan (diturunkan) kepada Nabi Muhammad s.a.w dan diwajibkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w selaku Rasulullah (wajib) menyampaikan al Quran itu kepada umatnya pula. Firman Allah di dalam ayat 44 Surah an Nahl:

Maksudnya: “ dan Kami (Allah) telah turunkan ke atas engkau (Nabi Muhammad s.a.w) akan al Quran untuk engkau (Nabi Muhammad s.a.w) terangkan (al Quran) itu kepada ummat manusia apa-apa yang telah diturunkan kepada mereka, juga agar mereka berfikir (memahami tuntutan al Quran itu.) “

Oleh itu, disamping kita membaca al Quran maka perlulah kita berusaha untuk memahami tuntutan-tuntutan Allah s .w.t daripada ayat-ayat al Quran dari masa ke semasa, tidak hanya terbatas kepada memperelokkan bacaannya semata-mata.

Yakinlah bahawa kebenaran itu ditentukan oleh Allah s.w.t, janganlah sekali-kali kita ragu-ragu seperti yang ditegaskan Allah s.w.t di dalam ayat 147 Surah al Baqarah:

Maksudnya: “Kebenaran itu datang dari Allah (didatangkan oleh Allah), maka janganlah sekali-kali anda termasuk di dalam golongan orang-orang yang ragu.“

Al-Quran sudah pasti benar, kerana al Quran diturunkan oleh Allah s.w.t (bukan rekaan manusia.) Al-Quran menjadi sumber utama hukum Islam, diikuti dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. Oleh itu maka deenul Islam adalah benar. Apabila deenul Islam benar dengan ketetapan daripada Allah s.w.t, maka sudah pastilah ajaran lain daripada Islam adalah batil (tidak benar). Apabila Islam itu benar (betul) maka lawan kepada Islam didul islam adalah batil (tidak benar). Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 32:

Maksudnya: “ apa lagi yang ada selepas kebenaran? Hanya yang ada selepas kebenaran ialah kesesatan. Bagaimana kamu dapat dipalingkan daripada kebenaran?“

Oleh itu orang-orang yang berIman kepada Allah s.w.t mestilah yakin dengan penuh keImanan bahawa al Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke langit dunia baitul ‘izah pada malam laillatul qadar itu dan telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w secara beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun itu adalah Kitab Allah yang wajib dipercayai, dibaca dan difahami dan diterimapakai hukum-hukum yang terdapat di dalamnya (al Quran). Fahamilah perintah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w di dalam ayat 43 hingga 44 Surah az Zukhruf :

Maksudnya: “Hendaklah engkau (Nabi Muhammad s.a.w) berpegang teguh dengan apa (yakni al Quran) yang telah diwahyukan kepada engkau (kepada Nabi Muhammad s.a.w). Sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad s.a.w) berada di atas jalan yang betul (benar) dan sesungguhnya al Quran itu mengangkat sebutan bagi engkau (Nabi Muhammad dimuliakan) dan kaum engkau (dapat kemuliaan dengan al Quran) dan mereka (umat yang berIman) itu akan disoal (dipertanggungjawabkan)“

Ayat wasaufa tus aluna diperjelaskan di dalam tafsir Fil Zilalil Quran bahawa al Quran (yang telah diturunkan oleh Allah dan telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya( adalah suatu tanggungjawab yang besar ke atas umat Nabi Muhammad s.a.w. Umat ini akan ditanya (disoal / dipertanggungjawabkan) tentang amanah ini iaitu al Quran yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk Deenul Islam bagi memimpin umat manusia ke jalan yang betul. Sekiranya umat Islam mengabaikan amanah ini, maka mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t.

Oleh itu sempena dengan kita menyambut ‘Peristiwa Nuzul al-Quran‘ dalam Bulan Ramadhan al-Mubarak ini, kita mengajak umat Islam seluruhnya, marilah kita menyedari bahawa kitab suci al Quran ini adalah ‘amanah besar‘ yang menjadi tanggungjawab orang yang mengaku berIman kepada Allah s.w.t. Wajib diusahakan agar hukum-hukum dan tuntutan-tuntutan di dalam al Quran itu berjalan dan diaplikasikan dalam kehidupan umat ini. Sebarang penolakan, keengganan, keangkuhan dan kesombongan terhadap al Quran dan sekaligus terhadap Sunnah Rasulullah s.a.w adalah mengundang kepada mala petaka besar iaitu balasan daripada Allah s.w.t.

Petikan dari lamanweb: www.haluan.org.my
About these ads
 
Leave a comment

Posted by on September 5, 2009 in Artikel, Ramadhan, Tarbiyah

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: