Awal pagi itu, sekumpulan murid perempuan darjah 5 Ibn Majah bertanya demikian pada saya.
“Awak semua puasa ke?”
“Mestilah puasa, ustaz.”
“Bagus, bagus. Molek benar tu.” saya memberi pujian dalam loghat atau slang kelate.
Sejak bulan lepas, saya perhatikan semakin ramai murid-murid sekolah ini yang rajin melaksanakan puasa sunnah, terutama Isnin dan Khamis, tambahan lagi dengan semakin hampirnya bulan Ramadhan.
Mereka bukan dipaksa atau disuruh, tetapi sangat jelas KECINTAAN mereka untuk melaksanakan ibadah itu bersama rakan-rakan yang lain terutamanya murid-murid tahap 2, iaitu tahun 4,5 dan 6. Kadang-kadang, rasa tercabar juga saya, apabila melihat mereka yang sekecil itu sudah merajinkan diri untuk ‘bersusah-susah’ berpuasa.
Memang tidak ada guru yang menyuruh atau memaksa, tetapi guru hanya membimbing, mendidik dan menceritakan kelebihan melakukan ‘WARMING UP’ sebelum masuk ke Ramadhan.
Tidak sangka pula saya, Khamis baru-baru ini, lebih separuh daripada murid sekolah itu berpuasa. ‘Boleh hitung dengan jari’ bilangan yang tidak berpuasa dan makan di kantin pada hari itu.



