RSS

PERBAIKILAH DIRI KAMU DAN SERULAH ORANG LAIN

12 Apr

Bersedia sebelum berdakwah

Sebelum kita mengajak manusia kepada Islam, hendaklah kita bersedia dengan persediaan ilmu, iman dan amal. Begitulah contoh yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di hari pertama baginda berdakwah

Usbah pertama

Baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memulakan dakwah dengan seorang diri. Kemudian, baginda mengumpulkan para sahabat atau sohibah yang hampir dengan baginda. Bermula dengan isteri baginda iaitu Sayidatina Khadijah Radhiallahu’anha. Kemudian, ahli keluarga baginda seperti Sayidina Ali Radhiallahu’anhu yang tinggal bersama baginda. Kemudian, sahabat yang terdekat iaitu Sayidina Abu Bakr Radhiallahu’anhu. Kemudian, melalui Sayidina Abu Bakr Radhiallahu’anhu, dakwah Islamiyah berkembang kepada Sayidina Usman bin Affan, Zubir bin Awwam, Abd Rahman bin Auf dan lain-lain. Inilah Usbah pertama yang bersama dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Usbah pertama ini dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di belakang Bukit Safa’ iaitu di rumah Arqam bin Abi Arqam.

Melalui pendidikan Islam yang dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka Islam bersinar di dalam kehidupan mereka. Syakhsiyah Islamiyah yang dimiliki oleh usbah pertama ini telah membimbangkan orang-orang kafir. Kebimbangan mereka mencetuskan penentangan terhadap usbah pertama ini. Bilal ditangkap dan disiksa. Keluarga Yathir disiksa. Sumayyah dibunuh. Ammar disiksa. Rumah Yathir dibakar. Ketika Yathir dan keluarganya disiksa, maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memberikan khabar gembira dengan sabda baginda:

Wahai keluarga Yathir, bersabarlah, sesungguhnya janji kamu adalah syurga”.

Anggota-anggota usbah yang lain juga menghadapi pelbagai ancaman yang menakutkan.

Usbah di bawah asuhan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ini tidak mengenal penat, lelah dan putus asa. Pelbagai penyiksaan dan ancaman yang datang menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap Allah Subhanahuwata’ala. dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Sesungguhnya usbah pertama benar-benar yakin terhadap janji Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya. Bagi mereka aqidah tidak boleh ditukar dengan ganti yang lain. Keimanan mereka adalah satu kenyataan dan realiti untuk dicontohi.

Bermula dengan diri sendiri

Dalam usaha usbah pertama mengajak manusia kepada Islam, mereka bermula dengan diri sendiri. Mereka membentuk rakizah atau kumpulan-kumpulan asas yang memahami dan menghayati Islam.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengutip, mengumpul dan membentuk mereka dengan acuan Islam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bukan sekadar mengumpul, tetapi juga membentuk mereka.

Dakwah yang sebenarnya adalah terdiri daripada usaha-usaha mengajak dan membentuk yang berjalan serentak. Apabila terabai prinsip pokok ini, maka akan berlakulah kegelencongan daripada konsep da’wah yang sebenar.

Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain

Ustaz Mustafa Al-Masyhur telah mengeluarkan kata-kata nasihat yang sangat bernilai kepada kita, iaitu:

Perbaikilah diri kamu dan serulah orang lain”

Pertamanya, kita perlu tegakkan iman, kefahaman dan syakhsiyah dalam diri kita dengan bersumberkan wahyu Allah Subhanahuwata’ala dan sunah serta sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat baginda.

Islam perlu ditegakkan di dalam diri kita. Apabila Islam tertegak di dalam diri kita, maka akan berkembanglah Islam laksana pokok. Semakin menunjang akar pokok maka semakin merendang daun dan semakin menjulang pucuk. Sesiapa sahaja yang beriman dan menghayati Islam, maka wajib baginya mengajak orang lain kepada Islam.

Islam adalah hak Allah Subhanahuwata’ala. Islam bukanlah semata-mata milik orang-orang arab, ustaz-ustaz, sheikh-sheikh atau institusi-institusi Islam. Islam adalah untuk semua manusia. Semua manusia berhak menerimanya.

Islam boleh difahami dan dihayati melalui tarbiyah Islamiyah atau pendidikan Islam. Sebenarnya, ilmu tanpa tarbiyah tidak dapat membentuk syakhsiyah. Ilmu berkehendakkan kepada tarbiyah untuk melahirkan natijah Islam. Berkata al Marhum Abul Ala al Maududi:

Islam adalah nama bagi ilmu dan menjelmakan ilmu itu ke dalam amalan

Kita perlu bersyukur kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Kita perlu banyak bersyukur kepada Allah Subhanahuwata’ala. kerana telah memilih kita untuk berada di dalam satu saf yang ingin kembali menegakkan Islam. Manusia yang berhajat kepada Allah Subhanahuwata’ala. adalah pilihan Allah Subhanahuwata’ala jua.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menegaskan bahawa akan sentiasa lahir di zaman mana pun satu thaifah atau kumpulan yang berdiri di atas kebenaran sehingga datang perintah Allah Subhanahuwata’ala. Meski pun khilafah Islamiyah sudah tidak ada, namun thaifah Islam tetap wujud bagi menggantikan peranan khilafah. Thaifah Islam boleh berada di mana-mana.

Jatuhnya Khilafah ‘Uthmaniyyah di Turki tidaklah bererti akan jatuh atau terhapus thaifah Islam di dunia ini. Thaifah Islam tetap wujud dan terus mengembangkan sayapnya. Thaifah Islam tidak semestinya satu. Thaifah Islam boleh wujud di merata-rata tempat. Kesatuan mereka adalah berdasarkan matlamat yang satu, jalan yang satu dan sistem yang satu.

Islam dagang kali kedua

Kita perlu faham bahawa Islam berada di peringkat dagang kali kedua. Islam telah dagang kali pertama di zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kita perlu merasai hakikat dagangnya Islam kini. Masyarakat kita telah menyisihkan Islam sehingga Islam itu dagang.

Di dalam suasana Islam dagang kini, kita adalah pedagang-pedagang yang ingin meletakkan kembali Islam di tempatnya yang asal. Inilah tugas yang besar dan mencabar. Kita ingin menjadi orang-orang yang beruntung sepertimana yang dimaksudkan oleh hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa Islam bermula dengan dagang dan akan kembali dagang, maka beruntunglah pedagang-pedagang.

Kita berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya meletakkan kita ke dalam golongan pedagang-pedagang yang berbahagia. Pedagang-pedagang yang ingin memperjuangkan Islam agar kembali diagungkan dan dimuliakan. Sesungguhnya Islamlah satu-satunya din yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala.

 
Leave a comment

Posted by on April 12, 2009 in Tarbiyah

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: