RSS

Ziarah ke rumah pelajar cemerlang SPM 2008

01 May

Tulisan Sdr Zahir Zainuddin, AJK Biro Latihan HALUAN.

Kesempatan berada di Kota Bharu, Kelantan, telah memberi peluang kepada saya untuk mencari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa bagi membuat kunjungan ziarah ke atas keluarga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal. Beliau mendapat 19A1 dan satu A2, ayahnya seorang nelayan dan ibunya, Mariani Omar bekerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Untuk ke rumah beliau, saya berhenti di tiga tempat bagi mendapat petunjuk kedudukan rumahnya di kampung tersebut. Tempat pertama ialah sebuah gerai jualan bergerak di hadapan sebuah sekolah berhampiran Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, manakala tempat kedua dan ketiga ialah kedai runcit di tepi jalan. Akhirnya, kedudukan rumah Nik Nur Madihah dapat juga ditemui iaitu di sebelah sebuah sekolah rendah dan lorong masuk ke rumah itu mempunyai pondok telefon dan sebuah bengkel kecil-kecilan.


Ketika keluar dari kereta, saya melihat sebuah rumah yang daif seperti yang dipaparkan dalam surat khabar. Keadaan bumbung rumah beratap zink karat dan berjuntaian betul-betul di hadapan beranda rumah. Di kiri dan kanan ada tiga buah rumah yang agak besar dan jauh beza keadaannya dengan rumah pelajar itu.

Sampai di hadapan rumah, saya memberi salam dan beberapa minit kemudian pintu rumah dikuak dan salam dijawab. Bapanya, Nik Mohd Kamal keluar dan menjemput masuk. Semasa bersalam dengan beliau, saya menghulurkan bungkusan buah mangga yang dibeli di pekan Pengkalan Chepa kerana seorang sahabat mengingatkan saya untuk membawa buah tangan jika ke sana. Di samping buah, sekeping not berwarna biru diselitkan pada tangannya.

Keadaan ruang tamu rumah agak kelam, sempit dan dapat memuatkan empat hingga lima orang sahaja. Sebahagian ruang tamu dimuatkan juga sebuah almari pakaian, katil dan meja komputer. Terdapat juga sebuah televisyen untuk tontonan keluarga.

Bapanya mohon izin untuk sembahyang asar dan meminta Nik Nur Madihah untuk berbual-bual dengan saya. Kali pertama melihat pelajar itu, terlintas di fikiran saya yang beliau seorang pelajar dalam kategori ‘ulat buku’ kerana di tangannya ada sebuah buku catatan kecil dan sebatang pen. Sambil membolak-balik halaman catatan, beliau sempat melemparkan senyum. Saya bertanyakan khabar dan mengucapkan tahniah di atas kejayaannya dalam SPM 2008 yang lalu.

Perbualan saya seterusnya dihadiri bersama oleh ibu dan bapanya yang menceritakan serba sedikit tentang keadaan rumah dan kehidupan mereka sekeluarga. Sebelum menjadi nelayan sepenuh masa lima tahun yang lalu, Nik Mohd Kamal bekerja sebagai kontraktor kecil-kecilan. Dia memilih untuk menjadi nelayan kerana pekerjaan itu menjadikannya lebih tenang dan puas hati di samping memberi rezeki yang halal.

Nik Nur Madihah mempunyai tiga orang adik. Dua daripadanya tinggal di asrama dan seorang lagi masih belajar di sekolah rendah berhampiran. Semua anak Nik Mohd Kamal dianugerahkan Allah SWT dengan akal yang pintar dan berjaya dalam pelajaran masing-masing. Nik Nur Madihah sendiri mengambil lapan subjek ketika di tingkatan lima dan berjaya pula. Pada pandangan saya, beliau mempunyai kepintaran luar biasa kerana mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencabar diri sebagai hadiah kepada kedua ibu bapa.

Rutin harian beliau ketika sekolah dahulu bermula jam 6.30 pagi dan berakhir jam 5 petang. Setiap hari berulang-alik dengan bas kerana bapanya perlu ke laut. Dia tidak tinggal di asrama kerana tidak ada wang untuk membayar yuran. Namun guru-guru sekolah memberi sumbangan RM200 sebulan untuk meringankan beban kewangannya.

Rahsia kejayaan Nik Nur Madihah terletak pada ibunya, Mariani Omar, seorang pencuci. Namun saya tidak pula bertanya lebih lanjut apakah tips dan kaedah yang digunakan sehingga anak perempuannya itu berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Barangkali ada ramuan khusus kerana semasa saya bertanya kepada Nik Mohd Kamal, beliau hanya berkata isterinya yang bertanggungjawab mendidik Nik Nur Madihah sehingga berjaya. Jadi, rahsia sebenar kejayaan itu berada di dalam tangan Mariani Omar, seorang ibu yang berjiwa besar. Salah satu maklumat yang diberitahu ialah Mariani membelikan sebuah meja lipat paras pinggang yang berharga RM30 untuk Nik Nur Madihah belajar di ruang tamu rumah mereka. Itu sahaja yang mampu dibeli sebagai dorongan untuk belajar.

Sedang rancak berbual, saya dihidangkan secawan teh dan sepinggan roti kering. Pinggannya pun jenis lama. Dalam sepinggan roti, hanya sekeping yang dapat dimakan kerana banyak soalan yang hendak ditanya hingga tidak sempat hendak makan. Bagi saya, kejayaan Nik Nur Madihah sangat mengagumkan kerana tidak ramai pelajar miskin Melayu yang meraih kecemerlangan akademik seperti itu. Apabila saya memberitahu yang tesis master saya berkaitan kajian ke atas orang miskin, wajah Nik Nur Madihah nampak berser-seri dan bertanya beberapa soalan berkaitan dapatan kajian berkenaan. Nampaknya soal kemiskinan berada dekat di hati beliau. Begitu juga dengan Nik Mohd Kamal. Beliau mencadangkan saya membuat kajian mengenai kemiskinan di Kelantan supaya hasil kajian berkenaan dapat dimanfaatkan bersama.

Dari segi tawaran belajar, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Bank Negara Malaysia menjadi pilihannya namun belum lagi memilih yang mana satu. Besar kemungkinan pada Julai nanti beliau akan melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sedang rancak berbual, seseorang menelefonnya dan perbualan berlangsung dalam bahasa Inggeris yang lancar. Wah, dia dapat menguasai bahasa itu dengan baik.

Saya dimaklumkan sebelum itu terdapat sebuah keluarga dari Selangor yang datang ke rumah berkenaan dan saya bernasib baik kerana dapat bertemu dengan Nik Nur Madihah di celah-celah kesibukannya. Dalam sehari dua lagi mereka sekeluarga akan ke Perlis untuk menerima sumbangan daripada persatuan nelayan negeri itu. Sudah pasti kehadiran beliau di Perlis dapat meningkatkan semangat anak-anak Perlis khususnya yang miskin untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.

Setelah meluangkan masa hampir 45 minit, saya meminta izin untuk beredar dan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Pengalaman bersama pelajar cemerlang itu adalah detik yang bermakna dan wajar dikongsi dengan orang lain juga. Saya mengucapkan terima kasih kepada Nik Nur Madihah sekeluarga kerana sudi menerima kunjungan berkenaan. Semoga Allah SWT akan membimbing dan memberi petunjuk kepada beliau sekeluarga di dunia dan akhirat.

Nik Nur Madihah telah membawa perubahan kepada keluarga melalui pendidikan yang cemerlang. Melihat kepada kejayaan itu, boleh dikatakan bahawa pendidikan adalah salah satu mekanisme paling berkesan untuk membantu mengatasi masalah kemiskinan dinegara kita. Walaupun proses pendidikan formal ini mengambil masa dan peruntukan perbelanjaan yang besar, bagi jangka masa panjang ia sangat membantu kerajaan mengatasi kemiskinan tegar. Justeru, disarankan pihak kerajaan menambah peruntukan dalam pendidikan negara dari semasa ke semasa di semua peringkat kerana pembinaan modal insan yang tulen bermula dari pendidikan.

 
Leave a comment

Posted by on May 1, 2009 in Aktiviti, Remaja

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: