RSS

Diari Remaja: Amal Soleh Praktikal Iman

13 Jul

Putera-puteri Srikandi Iman,

Semoga Allah sentiasa memberkati kalian. Sentiasa beroleh taufiq, hidayah dan keimanan mendalam. Dihiasi ketaqwaan yang tinggi yang memampukan kalian membebaskan jiwa dari perhambaan kepada selain Allah. Juga ibu doakan agar kalian tetap dan terus saling ingat-mengingati untuk menetapi kebenaran. Serta saling memperingatkan kepada kesabaran. Dengan demikian kalian akan tergolong sebagai manusia yang bahagia dan beruntung.

Anak-anakku yang gigih menuntut ilmu,
Lazimnya proses pembelajaran sesuatu ilmu secara tiori dilengkapkan dengan latihan amali. Kita ambil contoh mudah dalam matapelajaran sains rumahtangga; setelah pelajar-pelajar dibimbing memilih menu yang sesuai untuk menepati ciri-ciri makanan seimbang, kemudiannya mereka akan diminta pula memasaknya. Proses pembelajaran berkaitan berlangsung begitu bertujuan memastikan ilmu yang yang dipelajari mampu berfungsi dan dipraktikkan.

Begitu juga dalam kehidupan insan, iman dan taqwa yang tertanam di jiwa memerlukan kerja buat yang beroperasi membuktikan fungsi yang sepatutnya wujud. Pada dasarnya, amal soleh adalah buah iman dan taqwa. Amal soleh mesti sentiasa berlaku bagi meningkatkan bekalan taqwa juga menepis desakan nafsu. Kekurangan amal soleh akan menyebabkan iman terjejas. Dengan lain perkataan, amal soleh juga merupakan manifestasi syahadah dan kesinambungan ubudiyah. Jelasnya amal soleh merupakan bidang pelaksanaan ilmu. Iman dan taqwa merupakan tiori ilmu, manakala amal soleh sebagai latihan praktikal. Amal soleh juga berfungsi mengawal kesempurnaan iman dan taqwa, sekali gus akan Allah ganjari dengan kebahagiaan hakiki. Sepertimana maksud firman Allah;

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang mengerjakan amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka berada di dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku”. (QS An-Nuur:55)

Puteri-puteri harapan!
Amal soleh mengeluarkan kita dari tiori dan alam khayalan kepada praktik dalam kenyataan kehidupan. Di sini bermulanya peningkatan jiwa dan pembinaan pribadi yang menjurus kepada jihad dan mujahadah. Telah sedia kita maklumi di dalam diri manusia diciptakan Allah dua potensi, taqwa dan fujur. Kedua-dua potensi tersebut saling berlawanan, mendorong kepada kebaikan dan mendorong kepada kejahatan. Apabila amal soleh dilaksanakan, dorongan kebaikan (taqwa) akan mengatasi dorongan kejahatan (fujur).

Keadaan ini akan meningkatkan dan menambahkan lagi bekalan taqwa dalam kehidupan.

Puteri-puteriku,
Amal soleh itu luas bidangnya meliputi semua pebuatan baik dalam ruang lingkup ibadah. Ianya mestilah menepati syarat;

  • tidak bertentangan dengan syarak
  • tujuan melakukannya untuk beroleh keredhaan Allah serta membuktikan ketaatan kepadaNya.

Amal soleh dengan sifat utamanya menambah baik akhlak dan mengekang hawa nafsu membawakan bekalan-bekalan yang sangat diperlukan oleh diri setiap mukmin antaranya;

  • Membersihkan jiwa dari dosa dan mensucikan diri dari kemungkaran.
  • Menghiasi pribadi dengan sifat-sifat mulia yang terpuji.
  • Melakukan amal soleh meletakkan kita pada kedudukan yang tinggi sekali gus menyelamatkan diri dari kehinaan.
  • Sentiasa meletakkan diri dalam situasi berjaga-jaga dan mengikhlaskan setiap tindakan kerana Allah semata-mata.
  • Mengawal diri untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari berbuat kejahatan dan keingkaran.
  • Mendorong diri mukmin menjadi ummat pertengahan – ummatan wasata, menjadi contoh ikutan dan rahmat kepada alam.
  • Meletakkan diri mukmin dalam usaha bersungguh-sungguh menentang pihak yang berniat memusnahkan syaiar Islam dan umatnya.
  • Amal soleh membersihkan sifat jahiliyah yang cuba membelenggu jiwa umat Islam dengan perlaksanaan sepenuhnya cara hidup Islam.

Begitulah puteri-puteriku, Islam menghendaki umatnya memiliki kekuatan seimbang, justru itu amal soleh sangat-sangat dituntut agar bergabung segenap kekuatan pada diri setiap muslim. Kekuatan rohani dan kekuatan jiwa mestilah dilengkapkan dengan kekuatan kemahuan dan kekuatan jasmani. Dengan itu juga umat Islam akan menjadi umat contoh yang memiliki kemahuan yang kuat tidak bercampur sebarang kelemahan. Kesetiaan tulin yang tidak bercampur kepura-puraan dan penyelewengan. Serta pengorbanan yang banyak dan tidak terhalang oleh tamak dan bakhil. Secara menyeluruh iman dan amal soleh menghindarkan kita dari kesalahan dan kesilapan, juga melindungi kita dari tipu daya dan perbuatan khianat.

Puteri-puteri Islam Sejati!

Seandainya kita telah mampu membentuk diri sebaik mungkin dengan amal soleh yang berterusan, akan wujud kekuatan yang mampu mengajak orang lain kepada kebaikan. Pada hakikatnya, setiap diri yang memiliki sesuatu, dia akan mampu memberi sesuatu kepada orang lain. Sedangkan diri yang tandus dari sesuatu kebaikan, mana mungkin mampu menyumbang kepada kebaikan. Dari itu sedapatnya kita susun dan atur masa kehidupan ini dipenuhi dengan kerja buat yang Islam anjurkan. Sentiasalah menyedari yang lebih mulia ialah dia yang lebih baik amalnya. Bersegeralah mencari kesempatan untuk berlaku baik supaya nanti setiap sudut bumi Allah ini diliputi kebaikan….

Mari sama-sama kita mulakan beberapa sudut praktiknya;

  1. Kita telah dijelaskan tentang kebaikan dan ganjaran infaq dan sedekah. Kita berhajat melakukannya, tetapi timbul keraguan… perasaan sayangkan harta dan hak milik menguasai hati dan perasaan. Kita cuba sedaya-upaya melawan perasaan tersebut, kita belanjakan dan nafkahkan harta seperti yang Islam anjurkan dengan memberikan kepada yang berhak juga untuk sumbangan di jalan Allah. Ini bererti kita telah mampu mengalahkan hawa-nafsu dan melatih diri menjadi pemurah. Ini satu kebaikan sebagai bekalan yang meningkatkan taqwa.
  2. Kita telah mendengar tentang besarnya ganjaran jihad di jalan Allah, tetapi kita ragu-ragu untuk memulakan langkah menyertainya…Kita cuba bersungguh-sungguh mengalahkan tarikan dunia yang cenderung kepada kemewahan dan hidup bersenang lenang dengan mengutamakan usaha-usaha menegakkan kebenaran deen Allah. Melawan hawa nafsu sedemikian merupakan kemenangan bagi jiwa yang diisi dengan taqwa. Ini merupakan satu bekalan besar untuk sepanjang hayat.
  3. Kita telah didedahkan tentang kisah-kisah para sahabat Rasulullah s.a.w di sudut saling berkasih sayang di kalangan mereka. Mengutamakan saudara seIslam melebihi diri mereka sendiri. Telah disebutkan juga kelebihan dan ganjaran dari apa yang mereka berikan. Kita juga ingin mencontohi mereka, namun sikap suka mementingkan diri sendiri menguasai hati kita. Sekiranya kita gagahi diri menundukkan ego, kita akan beroleh bekalan lumayan dari keteguhan ukhwah dan mahabbah.
  4. Kita maklumi tanggungjawab dakwah yang tunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya mesti pula kita contohi dan laksanakan. Hanya dengan menceburi dan melibatkan diri dalam peranan dan usaha amar maaruf nahi munkar, kita akan mampu merealisasikan sifat sabar dan tabah. Dengannya juga iman kita akan tertingkat dan merupakan bekalan yang sangat kita perlukan.

Yakinlah puteri-puteriku!
Untuk memampukan diri kita berterusan di landasan kebenaran kita mestilah mampu mengawal diri dan menguasai nafsu. Di samping bersungguh-sungguh sentiasa melakukan amal soleh. Inilah bekalan yang mengangkat darjat mukmin kepada kemuliaan yang Allah anugerahkan.

Kita tangguhkan dahulu dengan sama-sama berdoa;
“Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu, dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu (yang akan kulaksanakan) dengan segala kemampuanku; dan aku berlindung padaMu dari kejahatan apa-apa yang aku lakukan, aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku, dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau”. Amiin.

Wassalam
Ummu Anas.
Ibu yang mendoakan ketaqwaan kalian

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: