RSS

Seruan Ramadhan: Menangislah Untuk Rasulullah SAW

30 Aug

muhammad-sawMimpi yang saya alami beberapa tahun dulu benar-benar memberi kesan yang mendalam terhadap cinta saya pada Rasulullah SAW walaupun saya sebenarnya terasa malu mengungkapkan kata cinta padanya. Mimpi yang cukup panjang itu benar-benar memberi kesan yang cukup mendalam pada jiwa saya. Suatu malam, saya bermimpi berjalan bersama sebuah kafilah dalam satu musafir yang cukup jauh di padang pasir. Biasanya ketika mimpi kita akan rasai suasana yang ‘real’; kalau sakit kita akan rasa sakit dan kalau panas memang kita rasakan panas tetapi mimpi saya ini perasaannya terlalu berbeza.

Saya tidak dapat merasakan kehangatan padang pasir dalam mimpi saya ini kerana disebelah saya ada seorang lelaki yang benar-benar mengikat hati saya untuk sentiasa tertumpu kepadanya. Kami terus menempuh perjalanan yang panjang. Kami lewati satu penempatan demi satu penempatan. Setiap kali kami berhenti di suatu penempatan ada saja penduduk di situ yang datang menghampiri saya dan berbisik ketelinga saya “Yang bersama kamu itu adalah Rasulullah” lalu saya menjawab ‘bukan rasanya”.

Bukannya saya tidak percaya bahawa itulah lelaki yang terlalu saya impikan untuk melihat wajahnya tetapi saya seolah-olah tidak percaya Allah benar-benar menjadikan impian saya itu jadi kenyataan. Siapa yang tidak ingin menatap wajah Baginda SAW. Sahabat Rasulullah SAW, ada yang wajahnya pucat seperti orang sakit hanya kerana beberapa hari tidak berjumpa Rasulullah SAW. Saya tidak sangka kali ini saya benar-benar dapat menatap wajah insan yang paling saya cintai itu.

Kami meneruskan perjalanan, ketika kami berhenti makan, datang lagi seorang lelaki yang membisikkan ke telinga saya, “Yang makan bersama kamu itu adalah Rasulullah SAW” Saya memberi jawapan yang sama dan dengan perasaan yang sama.

Kami terus berjalan hinggalah kami sampai di Mekah. Tidak jauh dari Kaabah,saya mula mendirikan solat. Pada ketika itulah saya tidak lagi dapat menahan air mata kegembiraan saya. Saya menangis sepuas-puasnya kerana terlalu gembira hinggalah saya tersedar dari mimpi tersebut. Airmata membasahi bantal saya. Ketika itu sudah hampir waktu subuh. Kemudian diwaktu solat subuh, saya mengimami rakan serumah saya Jamaludin yang biasa saya panggil Jamal. Sekali lagi saya tidak dapat menahan tangisan saya. Sepanjang solat subuh itu saya terus menangis.

Mimpi itu walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu tetapi kesannya masih segar. Setiap kali saya membaca lembaran sirah, saya tidak mampu menahan air mata saya apatah lagi ketika berdepan dengan kisah-kisah penyiksaan terhadap Baginda SAW. Saya akan menangis apabila diceritakan Rasulullah SAW menangis atau bersedih. Saya sering menghadapi sirah Rasulullah SAW seperti melihat sebuah filem yang hidup dan bergerak. Bahkan kadang-kadang saya akan menangis hanya dengan mendengar namanya disebutkan.

Mungkin tidak ramai yang mengalami mimpi yang sama sebagaimana yang saya alami tetapi saya tetap rasakan bahawa semua kita perlu menangis untuk Rasulullah SAW. Cuma, mungkin kita terlalu sibuk untuk benar-benar mengenali Baginda, terlalu sibuk untuk menghayati liku-liku hidup Baginda, lalu air mata kita terlalu mahal untuknya. Sekiranya kita menelusuri sirah hidupnya, menjiwai setiap pengorbanan dan keperitannya untuk keimanan itu sampai pada hati-hati manusia maka kita tentunya akan menangisi Baginda SAW.

Pengorbanannya diluar batas kemanusiaan. Pernah Baginda berjalan-jalan ditengah padang pasir ketika tengahari yang panas yang kebiasaannya masyarakat Arab akan berehat di rumah. Apabila Baginda bertemu dengan dua orang sahabat maka ditanya kepada Baginda, kenapa Baginda SAW di situ, maka jawabnya “Aku lapar, sudah beberapa hari aku tidak makan”.

Bukankah Saidatina Khadijah isterinya adalah seorang janda yang cukup kaya dan Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang peniaga yang Berjaya dan disenangi?

Kemanakah perginya harta kekayaan Baginda?

Kenapa Baginda harus lapar?

Bahkan setelah dijamu makan oleh sahabat tadi, Baginda minta pula sedikit makanan untuk anaknya Fatimah RA, kata baginda “Sudah beberapa hari makanan tidak masuk ke dalam perutnya”. Kemanakah seluruh kekayaan Baginda dibelanjakan hingga Baginda dan anak kesayangannya itu terpaksa melalui hari-hari yang panas dalam kelaparan?

Bukankah semuanya dikorbankan untuk kita?
Untuk keimanan sampai ke hati-hati kita,
untuk kita mengenal Allah sebagai Ilah dan Rabb
dan untuk kita selamat dari azab neraka Allah SWT.

Kenapa baginda harus berkorban hingga begitu sekali? Begitulah mendalamnya cinta Baginda kepada kita ummatnya. Tak terbayangkah kita ketika Baginda berdepan dengan sakitnya sakaratul maut? Nama siapakah yang disebut-sebut Baginda? Bukankah Baginda menyebut … ummati! ummati! ummati!. Sekiranya kita benar-benar cintakan Baginda tentunya kita akan terdengar panggilannya itu setiapkali kita membaca kisah saat-saat kematinnya. Ya, kita tidak dapat dengar dengan telinga kita tetapi kita akan dengarkannya dengan jiwa dan nurani kita. Panggilan yang penuh kasih dan pengharapan agar kita nanti akan bersamanya di Akhirat nanti.

Cuba kita bayangkan hijrah Baginda ke Madinah. Perjalanan yang hampir 500 KM. Menempuh padang pasir yang kontang dengan batuannya yang tajam sedangkan musuh boleh muncul pada bila-bila masa sahaja.

Cuba kita bayang peristiwa di Ta’if. Setelah begitu hebat dakwahnya ditentang di Mekah, Baginda berangkat ke Ta’if dengan seribu harapan. Tidak ada unta yang menjadi tunggangan Baginda melainkan Keimanannya pada Allah SWT, Tidak ada tongkat melainkan Roja’nya pada Allah dan tidak ada bekalan selain Taqwanya pada Allah SWT. bagaimana pula layanan penduduk Ta’if yang merupakan tetangga Halimaton Sa’diah, ibu susuan Baginda? Apa yang mereka lemparkan pada tubuh Baginda?. saidina Zaid menjadikan dirinya sebagai benteng lalu hampir-hampir kepalanya pecah. Darah-darah baginda SAW mengalir dari betis-betisnya lalu membasahi bumi Ta’if. Adakah Baginda doakan kebinasaan kepada mereka yang begitu membencinya? lalu apa yang Baginda doakan?

“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu, kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha.”


Beratnya ujian yang baginda tempuhi terlalu luar biasa. Bahkan ketika disaat-saat awal baginda menerima risalah ini baginda merasa begitu tertekan. Al Quran menceritakannya dengan nada-nada yang sayu dan menyentuh hati. Kalau kita melihat pada surah Ad Dhuha. Ya, Surah Ad Dhuha yang pendek tetapi begitu luas maknanya.

Saya menjadikan surah ini sebagai penawar bagi kegelisahan hati, penghilang kesedihan dan surah yang menyegarkan kembali rasa rindu dan cinta saya pada Rasulullah SAW walaupun saya rasakan cinta saya padanya tidak seperti yang sepatutnya. Saya akan selalu bacakan surah ini ketika saya merasa kehidupan terlalu membebankan. Jiwa saya akan merasa ringan kerana surah ini menggambarkan bebanan yang Baginda tanggung tidak dapat saya bandingkan dengan apa yang sedang saya alami.

Syed Qutb menggambarkan surah ini sebagai bisikan penuh kasih sayang dari Allah SWT untuk memujuk Rasulullah kerana beratnya beban yang baginda sedang alami.

“Pokok pembicaraan surah ini, pengungkapannya dan pemandangan-pemandangannya, bayangan-bayangan dan nada-nada pernyataannya merupakan suatu sentuhan kasih mesra, suatu hembusan rasa sayang, suatu belaian tangan yang belas kasihan yang menghilangkan sakit derita, suatu tiupan bayu yang membawa kerehatan, kerelaan dan harapan di samping mencurahkan rasa ketenteraman dan keyakinan. Semuanya itu adalah dituju kepada Rasulullah s.a.w. untuk menghibur dan mententeramkan hatinya.

Semuanya itu merupakan tiupan bayu rahmat, bisikan kasih, perdampingan yang mesra, timangan-timangan kepada jiwa yang lesu, fikiran yang gelabah dan hati yang menderita.

Berbagai-bagai riwayat telah menjelaskan bahawa penurunan wahyu telah putus seketika kepada Rasulullah s.a.w. Malaikat Jibril telah terlambat membawa wahyu Allah kepadanya kerana itu kaum Musyrikin melancarkan kempen bahawa Muhammad telah ditinggalkan Tuhannya! Lalu Allah turunkan surah ini.” (Syed Qutb: Fi Zilalul Quran)

Surah ini turun setelah begitu lama wahyu terhenti. Sedangkan wahyu itulah sumber kekuatan jiwa baginda, bekalan rohani untuk berdepan dengan peritnya ujian dan beratnya bebanan risalah dakwah. Wahyu-wahyu Allah dan pertemuan dengan kekasihnya adalah penawar untuk merawat luka-luka jiwanya akibat tentangan dan kebencian kaumnya sendiri kepada baginda.

Kini wahyu terhenti. Baginda merasa begitu terasing dan keseorangan. Bahkan ada dari kalangan kafir Quraisy yang mula mempersendakan baginda dengan kata mereka ‘Tuhan Muhammad telah meninggalkannya”

“Putuslah bekalannya, keringlah matairnya dan sepilah hatinya dari kekasih, dan tinggallah beliau seorang diri di tengah panas terik tanpa bekalan, tanpa air dan tanpa bau kekasih tercinta yang biasa dini’matinya. Dan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. begitu sengsara menanggungnya dari segala sudut.” (Syed Qutb)

Ketika tekanan berada dipuncaknya inilah turunnya surah Ad Dhuha seolah-olah memujuk Baginda SAW:

  1. Demi waktu matahari sepenggalahan naik,
  2. Dan demi malam apabila Telah sunyi (gelap),
  3. Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.
  4. Dan Sesungguhnya hari Kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang
  5. Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu , lalu (hati) kamu menjadi puas.
  6. Bukankah dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu dia melindungimu?
  7. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung[1583], lalu dia memberikan petunjuk.
  8. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu dia memberikan kecukupan.
  9. Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang.
  10. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu menghardiknya.
  11. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu khabarkan.


Ketika itulah turunnya surah ini membawa kasih mesra, rahmat, perdampingan, kerelaan, ketenteraman dan keyakinan:

“Seluruh perasaan kasih mesra, kerelaan dan kerinduan itu mengalir dari suasana ungkapan yang seni, kata-kata yang lembut, dan irama indah yang keluar dari ungkapan-ungkapan itu iaitu irama yang bergerak dan melangkah tenang dan melahirkan gema yang halus dan sayu. Allah telah memilih satu ‘frame’ bagi mengungkapkan perasaan kasih sayang, rahmat yang tenang, kerelaan yang menyeluruh dan kerinduan yang halus ini.

Dia telah memilih waktu pagi yang terang cemerlang dan malam yang sunyi itu sebagai frem yang amat sesuai dengannya. Itulah dua waktu yang paling jernih hening dan bening dari waktu-waktu siang dan malam. Itulah dua waktu yang merangsangkan manusia melepaskan menungan-menungan dan pengamatan-pengamatannya, merangsang jiwanya berhubung dengan alam buana dan dengan Allah Penciptanya dan mengarahkannya supaya bertawajjuh kepada Allah dengan tasbih-tasbih dan dengan melahirkan perasaan yang gembira dan jernih. Allah telah menggambarkan dua waktu itu dengan kata-kata yang sesuai.

Malam yang dipilih pun bukan sebarangan malam tetapi malam yang dimaksudkan ialah waktu malam yang tenang, jernih, hening, diselubungi tompokan-tompokan awan yang tipis yang merangsangkan perasaan sedih, bimbang dan terharu yang halus dan renungan yang tenang seperti suasana hidup yatim dan menumpang orang lain. Kemudian ia menyerlah tenang bersama waktu pagi yang hening. Demikianlah warna-warna gambaran itu sesuai dengan warnawarna fremnya. Dengan ini pengungkapan ayat-ayat ini menjadi begitu serasi. Gubahan ungkapan yang cukup indah ini membuktikan bahawa al-Qur’an itu dan gubahan Allah yang indah, tidak dapat ditandingi dan ditiru.

Allah S.W.T. telah bersumpah dengan dua waktu yang jernih hening, dan menghubungkan di antara gejala-gejala alam dengan perasaan-perasaan jiwa serta menyarankan kepada hati manusia satu bentuk hidup yang sedar dan mempunyai hubungan saling mesra dengan alam yang indah dan dinamis, yang bermesra dengan setiap yang hidup. Hati ini hidup dalam hubungan penuh kemesraan dengan alam ini dan tidak lagi merasa sepi dan dagang di alam ini Dalam surah ini kesan rasa kemesraan itu benar-benar dirasai, seolah-olah Allah mahu menyarankan kepada Rasulullah s.a.w. dari awal surah lagi bahawa Tuhannya telah melimpahkan rasa kemesraan di sekeliling hidupnya di alam ini, ia bukannya terbuang dan terbiar dan bukan pula sebatang kara.” (Syed Qutb)

Allah SWT mulakan dengan menggambarkan Rubbubiyyah dan Uluhiyyahnya; gambaran tentang halus dan rapinya pemerhatinNya. Seolah-olahnya Allah menceritakan bahawa segala kesulitan, segala kesdihan dan tekanan yang sedang baginda alami semuanya dalam ilmu Allah SWT. Allah SWT tahu yang baginda sedang bersedih, Allah tahu keperitan jiwa yang sedang Baginda lalui dan Allah juga tahu segala ujian berat yang terpaksa Baginda depani. Dan bukanlah Allah Allah meninggalkan Baginda dan tidak pula Allah marah padanya.

“Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.”

Lalu diteruskan dengan ayat-ayat yang menggambarkan bagaimana Allah mengurus kehidupan baginda sejak baginda yatim piatu dan tak punya apa disamping janji-janji Allah untuk baginda.

Inilah secebis kisah perjuangan baginda SAW untuk kita menanamkan cinta dan rindu kita kepadanya. Semoga Ramadhan ini akan menyegarkan pohon cinta kita kepadanya. Marilah kita sirami pohon iman ini dengan menghayati sirah baginda diwaktu-waktu yang berharga ini. Semoga air mata kita tidak lagi terlalu berharga untuk Baginda Rasulullah SAW.


 
Leave a comment

Posted by on August 30, 2009 in Artikel, Ramadhan, Tarbiyah

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: