RSS

Ayuh Melangkah Kita Berakhlak, Mendidik & Berbakti

01 Sep

haluanKeberadaan HALUAN sebagai salah satu Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia yang memberi tumpuan dalam aspek kebajikan dan pendidikan kepada pelbagai golongan dan lapisan masyarakat amatlah wajar. Misi Mendidik dan Berbakti seharusnya diterjemahkan ke dalam kerja-kerja anggota HALUAN di setiap negeri, daerah dan kampung. Anggota HALUAN perlulah berkerja berasaskan kekuatan iman, kefahaman, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyeru manusia kepada iman dan amal. Baginda menyatupadukan hati-hati mereka di atas mahabbah dan ukhuwwah. Bekalan iman dan ukhuwwahlah yang akan membahagiakan anggota HALUAN apabila terjun ke dalam masyarakat dan berkhidmat untuk mereka.

Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi sering mengobarkan semangat juang ahli HALUAN dan memperingatkan para relawannya bahawa mereka sebenarnya sedang menanam benih iman di sepanjang jalan dan dalam pelbagai kegiatan.

Kehadiran HALUAN semestinya dapat memberikan impak kepada masyarakat  sehinggalah mereka merasai pertumbuhan iman dalam jiwa mereka. Ini selaras dengan misi utama dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, iaitu menanam iman ke dalam hati-hati manusia. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda begitu bersungguh-sungguh menanam iman di hati umat sehingga natijah iman itu terjelma dalam setiap kegiatan hidup mereka. Sekaligus, hati-hati umat dapat disatukan di atasnya.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda meyakini bahawa sekiranya mereka berbuat demikian, maka Allah akan menolong dan menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus. Begitulah juga keyakinan anggota HALUAN dalam mendidik dan berbakti.

Kita sedia fahami bahawa matlamat utama tarbiyah Islamiyah ialah  melahirkan perhambaan manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya. Oleh itu kita perlulah ghairah dan termotivasi tinggi untuk mendidik dan berbakti kerana kita sebenarnya mengajak manusia untuk memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala. Janganlah kita bertangguh-tangguh, singsinglah lengan baju, sarunglah baju besi, didik dan berbaktilah kepada manusia. Manusia sedang menanti kehadiran para da’i dan murabbi.

Kita juga meyakini bahawa segala sumbangan dan kerja mengislah masyarakat akan di nilai oleh Allah Subhanahuwata’ala. Inilah bekalan kita untuk kehidupan di negeri akhirat nanti.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

”Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya atas segala apa yang kamu kerjakan.”

(Surah Al Hasyr: 18)

Peringatan Presiden

Dr. Abdullah Sudin, presiden HALUAN, sering mengingatkan kita bahawa segala kegiatan, wasilah dan operasi HALUAN, tidak akan melampui tiga perkara utama, iaitu:

1) Iman al-amiq (iman yang mendalam).

2) Takwin ad-daqiq (pembentukan yang rapi dan teliti).

3) Amal al-mutawasil (usaha dan amal yang berterusan).

Inilah prinsip HALUAN yang tetap. Dengan komitmen yang berterusan dan beransur-ansur, HALUAN berusaha membentuk individu, rumahtangga dan masyarakat muslim.

Janganlah kita gopoh atau lalai. Dakwah Islamiyah memerlukan nafas yang panjang.

Jangan kita kehilangan haluan

Apa tanda bagi seorang da’i yang kehilangan haluan? Seorang da’i harus sedar dan faham bahawa simptom utama yang akan menyebabkan beliau tercicir dari barisan para du’ah ialah apabila mengabaikan tarbiyah imaniah. Kesungguhan dan keseriusan kita dalam menjayakan misi Mendidik dan Berbakti sebenarnya mempunyai kaitan dengan turun naiknya tarbiyah imaniah kita.

Dr. Abdullah Sudin telah menekankan kepentingan iman yang mendalam. Akibat kelonggaran iman, akan berlakulah kepincangan dalam takwin dan amal. Di setiap fasa dan marhalah,  kita sentiasa berhadapan dengan tuntutan dan cabaran untuk memelihara tarbiyah kita. Amal kita akan kuat dan smart apabila tarbiyah kita mantap. Amal kita akan malap apabila tarbiyah kita lumpuh atau tarbiyah sekadar melepaskan batuk di tangga. Sesibuk mana sekali pun kita melayani masyarakat, proses tarbiyah diri mestilah terus berjalan. Ertinya kita hendaklah sentiasa berada dalam rahim tarbiyah imaniah.

Mencari dan Mencipta peluang untuk berkhidmat

Antara kualiti yang harus dimiliki oleh anggota HALUAN agar visi dan misinya tercapai ialah kualiti diri yang sentiasa bersiap sedia untuk memberi khidmat dan bantuan kepada masyarakat. Kita bukanlah seperti sebuah radio yang hanya memutar dan mengulangi pelbagai konsep dan pemikiran semata-mata. Akan tetapi kita adalah da’i tulin yang sanggup menterjemahkan segala konsep dan pemikiran ke alam realiti dan tindakan yang konkrit.

Sesungguhnya HALUAN tidak mungkin mampu memenuhi keperluan kebendaan semua anggota masyarakat. Dan juga tidak mungkin akan mampu untuk mendidik dan berbakti kepada setiap ahli masyarakat. Namun keterbatasan dan ketidakmampuan HALUAN itu bukanlah suatu alasan atau halangan. HALUAN akan terus melaksanakan kewajipan mendidik dan berkhidmat dalam lingkungan kemampuannya. Segala kekurangan HALUAN akan ditampung oleh akhlak terpuji yang dimiliki anggota-anggotanya.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:

”Kamu tidak akan dapat mencukupi keperluan manusia dengan harta kamu, kerana itu cukupkanlah dengan akhlak kamu.”

Dr. Abdullah Sudin menegaskan lagi,  da’i sejati adalah da’i yang hidup untuk orang lain dan bukan untuk dirinya sendiri sahaja. Da’i sejati sentiasa mencari peluang dan mencipta peluang mendidik dan berbakti, berusaha menyenangkan orang lain dan mengenepikan kesenangan peribadi. Dia merasa bahagia apabila dapat membahagiakan orang lain.  Dia merasa damai apabila dapat mendamaikan orang lain  dengan akhlaknya yang mulia. Demikianlah peribadi da’i sejati yang ingin dilahirkan oleh sebuah pertubuhan bernama HALUAN.

Akhirkata, marilah kita hayati petikan ucapan Dr. Abdullah Sudin dalam ucapannya di muktamar HALUAN ke 16 yang lalu, sebagai suatu motivasi dalam gerakerja HALUAN di persada bumi ini:

“Kita mahu supaya masyarakat kita memahami bahawa kita adalah ahli-ahli HALUAN yang lebih menyayangi mereka daripada diri kita sendiri. Demi kasih sayang kerana ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA, maka kita bersedia menjadi penebus ke atas maruah, harga diri, agama dan impian mereka. Rasanya terlalu sukar bagi ahli-ahli HALUAN untuk sekadar melihat akan nasib yang menimpa umat ini, lalu berpeluk tubuh menerima segala penghinaan,  redha dengan kehinaan dan mendiamkan diri. InsyaAllah kita akan terus bekerja untuk kepentingan masyarakat lebih daripada kepentingan diri kita sendiri. Sebenarnya, tiada apa yang perlu kita banggakan dari sumbangan kita. Malah tidak pernah kita merasakan kita punyai apa-apa kelebihan. Yang lebih ialah ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA”

Susunan: Mohd Razali Maarof (Ketua Biro Latihan HALUAN Malaysia)

 
Leave a comment

Posted by on September 1, 2009 in Artikel, Kepimpinan HALUAN

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: