RSS

Tazkirah Naib Presiden HALUAN Pusat: Apakah Keutamaan Kita?

13 Sep

Apakah keutamaan kita pada masa ini?

question4Adakah keluarga? Pekerjaan? Kekayaan? Kesihatan? Ketenangan? Kebahagiaan? Ada berbagai-bagai perkara yang dijadikan keutamaan pada masa ini. Jadi, apakah sebenarnya yang utama dalam kehidupan kita?

Mengapakah soal keutamaan ini penting? Apakah hubungannya dengan aktiviti kehidupan seharian kita? Perkara ini perlu kita fahami sebelum membincangkan soal keutamaan ini.

Keutamaan akan sentiasa menguasai fikiran kita. Keutamaan akan sentiasa mempengaruhi apa sahaja keputusan yang kita buat. Ini bermakna, keutamaan akan menjadi penentu dalam banyak hal.

Keutamaan menentukan apakah aktiviti yang kita pilih pada sesuatu masa. Keutamaan menentukan penggunaan wang ringgit yang kita miliki. Keutamaan juga menentukan di manakah tenaga kita akan dicurahkan.

Selain itu, kita juga perlu sedari bahawa hari demi hari berlalu begitu pantas. Usia kita juga berlalu begitu pantas. Rupa-rupanya hidup kita terlalu singkat. Hidup kita di atas muka bumi ini digambarkan oleh al-Qur’an seolah-olah seperti satu pagi atau satu petang. “Pada hari mereka melihat Qiamat, maka terasalah oleh mereka seolah-olah mereka tinggal di dunia ini melainkan hanya sepetang atau sepagi sahaja” (Surah An-Nazi’at ayat 46).

Alangkah singkatnya satu pagi atau satu petang itu? Mungkin satu pagi atau satu petang itu kita penuhi dengan satu permainan bola sepak sahaja. Oleh yang demikian, adakah kita akan mensia-siakan kehidupan yang begitu singkat tanpa sebarang keutamaan?


matiSehubungan dengan perkara di atas, kita perlu secara sedar memahami dan menentukan apakah keutamaan kita yang betul. Jadi apakah asas yang kita gunakan dalam menentukan keutamaan yang betul?

Sebagai Muslim setiap hari kita solah lima waktu. Ada tujuh belas rakaat semuanya. Dalam setiap rakaat kita membaca al-Fatihah. Al-Fatihah sebenarnya ialah do’a paling utama yang disediakan oleh Allah swt untuk kita baca setiap hari. Apakah yang kita minta pada setiap kali kita berdo’a?  Bukankah kita memohon, tunjukkanlah kami jalan yang lurus? Jalan yang dilalui oleh mereka yang diberikan nikmat oleh Allah swt. Bukannya jalan orang yang dimurkai Allah swt dan bukannya jalan orang yang sesat.

Apakah jalan yang lurus itu? Jawapannya ialah Deen al-Islam. Cara hidup Islam. Cara hidup ini telah diikuti oleh para rasul, para nabi dan para pengikut mereka. Inilah jalan yang memberikan kenikmatan, di dunia dan di akhirat.

Sebaliknya, mereka yang memilih jalan hidup yang lain akan jatuh kepada dua kategori. Kategori pertama ialah mereka yang dimurkai oleh Allah swt. Manakala kategori kedua ialah mereka yang sesat.

Selanjutnya, dua ayat pertama dalam Surah al-Baqarah menjawab soalan tersebut. “Alif laam meem. Itulah kitab yang tiada keraguan di dalamnya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”.

Sehubungan dengan penjelasan di atas, jelas kepada kita bahawa keutamaan kita ialah untuk sentiasa berada di atas cara hidup Islam. Buatlah apa aktiviti sekalipun, baik kekeluargaan, kemasyarakatan, kenegaraan, perniagaan, atau apa sahaja, apa yang utama ialah berada di atas landasan deen Islam.

Deen ialah cara hidup atau sistem kehidupan. Ini bermakna, sistem kehidupan Islam perlu dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan. Semua perkara sama ada soal peribadi, keluarga, masyarakat, Negara, malah seluruh dunia dan alam ini mesti mematuhi sistem Islam. Sekiranya sistem Islam telah wujud dan berjalan maka kita wajib mengikutinya. Sebaliknya jika sistem Islam tidak wujud atau belum wujud sepenuhnya, maka kita wajib menegakkannya.

Kita perlu melihat kedudukan sistem islam dari semasa ke semasa. Inilah sebenarnya yang menentukan keutamaan kita. Jika sistem Islam telah wujud dan berjalan, maka keutamaan kita ialah mempertahankannya daripada serangan musuh. Sebaliknya jika sistem Islam belum tertegak dan belum dilaksanakan, maka keutamaan kita ialah menegakkan sistem Islam tersebut.

Selanjutnya, apakah yang perlu kita laksanakan untuk menegakkan sistem hidup islam. Jawapannya ialah melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah. Dakwah bermakna mengajak orang lain untuk menerima sistem hidup Islam. Tarbiyah pula bermakna mendidik orang yang menerima ajakan tadi untuk melaksanakan sistem hidup Islam.

Kesimpulannya, keutamaan dalam hidup kita ialah kerja dakwah dan tarbiyah. Inilah amal utama atau amal qawi dalam kehidupan kita.

Wallahua’lam.

Tulisan
Prof Sr Dr Abdul Hakim Mohamed
Naib Presiden HALUAN

 
Leave a comment

Posted by on September 13, 2009 in Artikel

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: