RSS

Memperingati 27 Tahun Peristiwa Sabra & Shatila

17 Sep

sabra shatila2Bashir Gemayel telah dibunuh pada 14 September 1982, beliau merupakan pemimpin Lubnan yang menjadi harapan kerajaan haram Israel untuk mengadakan hubungan ‘mesra’ dengan kerajaan Lubnan. Namun bakal presiden tersebut dilihat lebih gemar berpakat dengan Israel sebagai hanya sesuatu yang tidak rasmi dan bersifat praktikal. Perbezaan pendapat ini timbul dalam pertemuan antara Begin, Perdana Menteri Israel dan Gemayel di Nahariyya di bahagian utara Israel pada awal September.

Kerajaan pusat mengehendaki Gemayel meluaskan kuasanya ke atas selatan Lubnan, termasuklah mengetepikan Sa’ad Haddad, sekutu tempatan yang amat dipercayai Israel. Israel enggan membuang Haddad begitu sahaja kerana sekutunya tersebut telah membuktikan bahawa beliau boleh dipercayai dan efektif dalam mengekalkan cordon sanitaire, sedangkan anggota parti Phalange – Angkatan Tentera Lubnan – tidak mampu berbuat begitu.

Ketika Bashir dibunuh, tiada lagi ketua Maronite lain yang mempunyai keupayaan untuk memerintah Lubnan serta memiliki haluan politik yang boleh diterima oleh Israel, lebih-lebih lagi pro-Israel. Tambahan pula, Syria dan PLO masih menguasai sebahagian besar Lubnan. Dalam keadaan begini, pucuk pimpinan Israel segera menghantar tentera Israel ke Beirut Timur, dengan alasan keperluan untuk mengekalkan ketenteraman dan keselamatan selepas pembunuhan bakal presiden tersebut.

Ilham bagi “pembersihan” kem pelarian Sabra dan Shatila di bahagian selatan Beirut timbul daripada pembunuhan beramai-ramai di Del Yassin pada 9-10 April 1948 apabila anggota Irgun di bawah pimpinan Begin membunuh 254 orang penduduk kampung Palestin yang tidak terdaya untuk mempertahankan diri dan seterusnya mengakibatkan lebih daripada 600 000 penduduk Palestin lari kerana panik. Kini, kawasan yang mereka diami telah menjadi wilayah haram Israel. Pernah beberapa kali Time melaporkan Gemayel memberitahu para pegawai Israel bahawa beliau ingin sekali meranapkan kem-kem Palestin dan menukarnya menjadi gelanggang tenis.

Pada awal 1982, Gemayel telah menghantar 500 askarnya ke Israel untuk menjalani latihan khas. Kumpulan askar inilah yang dipilih untuk membersihkan Sabra dan Shatila. Perjanjian yang dirunding oleh Habib dengan PLO ialah pemergian pejuang PLO mengandungi jaminan keselamatan masa depan setengah juta penduduk Palestin yang tinggal di Lubnan dan turut menekankan penentangan Washington terhadap kemasukan Israel ke Beirut Timur, termasuk ke kem-kem.

Pengeboman yang membunuh Bashir Gemayel dan tiga puluh orang para pengikutnya dalam Barisan Lubnan berlaku di ibu pejabat Ashrafiyya tempat para pemimpin Barisan bermesyuarat setiap minggu.

Namun, apa yang menghairankan ialah Elias Hobeika, ketua Angkatan Tentera Lubnan yang amat pro-Israel dan orang yang bertanggungjawab ke atas keselamatan Gemayel tidak hadir dalam mesyuarat tersebut. Dan, pihak Kataib tidak pernah mengumumkan hasil siasatannya.

Beberapa jam selepas letupan yang membunuh Bashir Gemayel, iaitu pada hari Rabu 15 September, Ketua Turus Israel, Jeneral Rafael Eitan dan Panglima Angkatan Bersenjata Pertahanan Israel (Israel Defence Force atau IDF), Jeneral Amir Drori, dalam pertemuan dengan Hobeika telah merancang “penyapuan bersih” “pengganas” yang masih tinggal di kem. Hobeikalah yang secara peribadi mengawasi pembunuhan beribu-ribu penduduk Palestin dan penduduk Lubnan oleh anggota Kata’ib di kem pelarian Tal al-Za’atar di Beirut Timur pada tahun 1976 dan juga mengetuai misi pembunuhan beramai-ramai ini. Bidang pengkhususan mereka ialah pembunuhan beramai-ramai, seperti yang sememangnya diketahui benar oleh para pemimpin Israel.

Dua jam selepas pertemuan mereka, kapal terbang Israel mula membuat penerbangan rendah di atas kem; kemudian pada waktu petang kem turut dibedil artileri dan kereta kebal. Kepantasan IDF dan sekutunya yang paling rapat dalam Angkatan Tentera Lubnan dalam mengeksploitasikan pembunuhan Gemayel membuktikan kebenaran khabar angin bahawa Israel dan divisyen Hobeika yang melampau dan pro-Israel telah membunuh Gemayel. Para pemimpin Israel tahu apa niat Hobeika. Pada malam 15 September, Jeneral Eitan memberitahu kabinet Israel, “Saya nampak dalam mata mereka (Kata’ib) apa yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Apabila Amin Gemayel menggunakan perkataan dendam, kesemua mereka sudah pun menajamkan pisau mereka.”

Dalam mesyuarat panglima tertinggi Israel dengan Hobeika esoknya, ditekankan bahawa operasi kasach (menghiris) akan dijalankan di kem. Pada 16 hari bulan, tentera payung terjun Israel diarah supaya memudahkan kemasukan anggota Kata’ib ke dalam kem.

IDF membekalkan gambar udara serta peta kem dan bantuan lain yang diperlukan semasa operasi dijalankan, termasuk mengumumkan arahan kepada penghuni kem melalui pembesar suara dalam bahasa Arab, di samping menggantikan kumpulan tentera awam militia. Pada hari kedua, mereka membolehkan anggota bantuan memasuki kem bagi memastikan siri pembunuhan diteruskan pada hari Jumaat.

Sejurus selepas bermulanya penyembelihan pada hari sebelumnya, pos perintah IDF sejauh 200 meter dari kem telah menerima maklumat bahawa pembunuhan beramai-ramai sedang berlangsung, akan tetapi mereka tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan penyembelihan, malah mereka membenarkan lebih ramai pembunuh masuk ke kem pada hari esoknya. Mangsa dibunuh bukan sahaja dengan cara ditembak bagi memastikan bahagian lain kem tidak sedar apa yang sedang berlaku, mereka turut dibunuh terutamanya dengan pisau, kapak dan beliung; leher mereka dikelar, perut mereka dirabak. Bahkan kanak-kanak pun diseksa sebelum dibunuh.

Pada 25 Ogos, kira-kira 800 askar marin Amerika tiba di Beirut untuk sama-sama membentuk Angkatan Bersenjata Berbilang Bangsa (MuIti-National Force atau MNF) termasuklah kontinjen Perancis dan kontinjen Itali. Di antara tujuannya ialah menyelia pengunduran PLO dan memastikan perlindungan ke atas penduduk Palestin di Lubnan. MNF dijadualkan berada di Lubnan sehingga 26 September, tetapi mereka bertolak balik pada 10-13 September sebaik sahaja PLO berundur. Dengan itu, bahagian kedua perjanjian iaitu perlindungan penduduk Palestin dan orang awam yang lain telah diingkari.

Pada malam Khamis, Hobeika melaporkan kepada ketua pemerintahan IDP bahawa 300 orang awam telah dibunuh. Dua puluh pegawai kanan di Tel Aviv dan juga ketua pemerintah Israel di Beirut melihat laporan ini, namun tiada seorang pun bertindak untuk memberhentikan penyembelihan di kem tersebut. Sektor kem di mana sebahagian besar pembunuhan dilakukan, jelas dapat dilihat dari bahagian atas pos Israel. Jelas kelihatan dari pos tersebut, Angkatan Tentera Lubnan menggali sebuah parit untuk menghumban beratus-ratus mayat. Jentolak itu juga meranapkan rumah bagi tujuan mengambus mayat di dalam runtuhan rumah.

Askar Israel menyuruh orang berpatah balik atau menghalang orang yang cuba lari dari kem. Suruhanjaya Antarabangsa menyimpulkan, “Askar Israel seolah-olah menjalankan operasi dengan arahan untuk tidak membenarkan mana-mana penghuni kem melepaskan diri, meskipun mereka tahu bahawa orang awam sedang dibunuh dalam bilangan yang banyak dan bahawa suatu bentuk pembunuhan beramai-ramai sedang dijalankan.”

Suruhanjaya Antarabangsa menyatakan bukti paling kukuh tentang penipuan Israel yang sengaja dan dakwaan Kata’ib tentang “2000 pengganas yang masih tinggal di kem” adalah bohong kerana sama sekali tiada tentangan terhadap pembunuhan beramai-ramai itu dari pelarian Palestin…. Tiada langsung anggota tentera yang terbunuh atau tercedera semasa mereka menjalankan pembunuhan beramai-ramai… Bahkan tiada tanda yang menunjukkan ada tentangan sedikitpun daripada penghuni kem… Pekerja lapangan Oxfam menyebut tentang senapang mainan yang diperbuat daripada plastisin ditemui di sisi mayat seorang budak lelak menjadi contoh betapa penghuni kem tidak berupaya langsung mempertahankan diri mereka’

Walaupun Yassir Arafat mengumumkan lebih 3000 rakyat Palestin terbunuh, namun bilangan sebenar tidak dapat ditentukan kerana kebanyakan mayat dikuburkan dalam runtuhan rumah serta sengaja diranapkan dengan jentolak. Selepas menjalankan penyiasatan dengan teliti, Amon Kapeliouk, seorang wartawan Israel mendapati bilangan yang terbunuh adalah antara 3000 dan 3500, termasuk 700-800 rakyat Lubnan. Sumber rasmi Israel mengaku bilangannya 700-800.

Sebelum serangan Israel, Kapeiiouk telah menarik perhatian umum yang mencemaskan di Israel iaitu tulisan dan ajaran rabai tertentu, (bekas paderi tentera) yang berkeras mengatakan bahawa kitab Bible mengarahkan pengusiran orang Arab dan semasa peperang, membunuh serta menghapuskan orang bukan Yahudi, termasuk bayi dan ibu mereka.

Tiada pihak berkuasa agama, tiada rabai, pernah menyuarakan menentang percakapan yang bersifat perkauman ini. Sebagai contohnya, Jeneral Avigdor Ben-Gal, bekas panglima daerah utara Israel, menganggap rakyat Palestin di Israel sebagai “barah dalam jasad tanah air ini”. Bagi Ariel Sharon, ia mengancam hendak mengusir penduduk Palestin dan mengatakan rakyat Palestin adalah “orang asing”; Jeneral Eitan menyamakan rakyat Palestin di Tebing Barat dengan “lipas mabuk di dalam botol”. Begin pula pernah memberitahu Knesset pada 8 Jun 1982 bahawa pejuang Palestin merupakan “binatang yang berjalan di atas dua tangan”.

Masyarakat Israel menempuh proses menyah insani dan memfasiskan nilai-nilai moral mereka. Semua ini selaras dengan penyataan rasmi bekas Perdana Menteri Israel, Golda Meir, “Rakyat Palestin tidak wujud.”

Ketika buku ini ditulis (tahun 2000) mangsa Sabra dan Shatila masih belum dikeluarkan daripada timbunan runtuhan dan belum dikebumikan dengan sempurna, tiada batu nisan yang ditegakkan untuk mengingatkan seluruh dunia tentang tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut.

Bahkan kerajaan Lubnan pernah menyuarakan tentang niatnya untuk meratakan apa yang masih tinggal di kem untuk memberi laluan kepada pembangunan.

*Petikan dan suntingan kecil dari Alijah Gordon (2003). Rakyat Palestin Bersuara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Susunan: W. A. Amir Zal Pengkaji Konspirasi Yahudi Antarabangsa – palestinefolder.blogspot.com
 
Leave a comment

Posted by on September 17, 2009 in Antarabangsa, Artikel, Palestin

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: