RSS

Mesej dari SUA HALUAN: 3 Prinsip Fikrah Kita

12 Jan

Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah swt. Kita ucapkan solawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad saw, seluruh keluarga dan sahabatnya, serta siapa sahaja yang berdakwah mengikut jalan Rasulullah saw hingga hari qiamat.

Wahai ahli HALUAN yang dihormati dan dikasihi, saya sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari Allah, yang baik dan barakah:

Kini kita mula mengorak langkah dengan gerak kerja yang lebih bertenaga dan mempunyai matlamat yang jelas untuk mencapai visi, misi, matlamat dan moto yang telah ditetapkan oleh kepimpinan HALUAN:

Visi: HALUAN Peneraju Perubahan Masyarakat
Misi: Pendidikan dan Perkhidmatan Melahirkan Pemimpin Dan Merubah Masyarakat.
Matlamat: Melahirkan Masyarakat Berakhlak Mulia Melalui Pendidikan dan Kebajikan
Moto: Berakhlak, Mendidik dan Berbakti

Semuanya ini dikira sebagai landasan dan strategi untuk kita bergerak dan bertindak dalam melaksanakan tugas suci dan murni sebagai hamba dan khalifah Allah swt di atas muka bumi, sekaligus sebagai persiapan dan bekalan untuk kita bertemu denganNya di Yaumul Hisab. Berdasarkan Moto HALUAN, kemunculan kita dalam masyarakat dengan membawa akhlak mulia yang lahir daripada akhlak Islam dalam menjalankan operasi mendidik dan berbakti. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini kita akan berhadapan dengan berbagai ujian, cabaran, pertarungan yang sengit, kita tidak boleh kalah dan mesti keluar sebagai PEMENANG.

Apabila kita mentadabbur Kitabullah, seerah hidup Nabi saw dan strategi siasah yang digunakan oleh beliau didalam menyebarkan risalahnya, baginda telah berjaya memasukkan Tiga Prinsip Fikrah ke dalam jiwa kaum mukmin pertama yang menjadi TUNGGAK kemenangan mereka.

2. TIGA PRINSIP FIKRAH

2.1. KEYAKINAN MUTLAK KEPADA RISALAH ISLAM

Wahai ahli HALUAN yang dikasihi, para sahabat Rasulullah saw mempunyai keyakinan secara mutlak terhadap risalah, tanpa disulami dengan rasa lemah dan lesu. Bersebati dengan risalah ini dan merasa unggul bersamanya, sehingga tidak memerlukan risalah lain lagi, tidak menyama dan membanding-bandingkan dengan isme yang lahir daripada pemikiran manusia. Ini bukan bererti mereka memusuhi terhadap orang lain. Al-Quran sejak awal telah menanamkan keyakinan ini di dalam jiwa mereka dan diperkukuhlan lagi oleh Rasulullah saw ke dalam hati mereka. Mereka meyakini risalah yang mereka bawa merupakan risalah paling mulia, paling tinggi dan paling sempurna. Ia adalah kebaikan sedangkan yang lain keburukan. Ia adalah kebahagiaan sedangkan yang lain kesengsaraan.
Mereka, wahai ahli-ahli HALUAN, juga melihat bagaimana peradaban Parsi (Jepun dan Korea?) dengan segala macam bentuk kenikmatan, kemewahan dan kemakmuran. Mereka juga melihat kecantikkan istana Kisra (Amerika dan Eropah?) yang artistik, namun mata mereka tidak silau dan tidak boleh disamakan dengan batang kurma yang digunakan oleh Rasulullah saw untuk membina Masjid Nabawi. Mereka melihat berbagai penampilan Parsi yang memiliki persiapan kekuatan luar biasa. Namun itu semua bagi mereka tidak boleh dibandingkan dengan jubah yang menyelimuti tubuh mereka. Mereka melihat kekayaan Parsi, namun tidak boleh dibandingkan dengan segenggam kurma dan gandum. Mereka melihat buku-buku karangan bangsa Parsi dalam bentuk ilmu pengetahuan, sastera, syair dan sebagainya. Semua ini dalam pemikiran orang Islam tidak mungkin dapat disamakan dengan kata-kata yang mereka dengar dari Umar bin Khattab, kerana mesej Umar r.a. mempunyai hubungan dengan langit dan dengan itu ia dapat menguasai dunia dan segala isinya dengan penuh keadilan.

Salah seorang mukmin mengadap Kaisar Rom. Maka apa yang dilihatnya dalam bentuk kenikmatan dan kemewahan ternyata amat remeh kepadanya. Kaisar menyedikan bantal untuk ia duduk di atasnya. Namun ia berkata, “Tidak! Tak usah. Nabi kami telah melarang kami duduk di atas bantalmu ini”

Seluruh keyakinan ini, wahai ahli HALUAN, tertancap di dalam jiwa mereka. Saidina Amru bin ‘Ash pernah mengirim surat kepada Saidina Umar bin Khattab r.a. dengan mengatakan,”Kami memperolehi buku-buku yang ditinggalkan oleh orang Rom di Iskandariah. Apakah boleh kami terjemahkan buku tersebut dan mengambil manafaatnya?” Umar kemudian menjawab, “Jangan! Biarkan dalam keadaan asalnya”. Umar mahu peradaban kaum muslimin tetap bersifat samawi. Bukan satu kaedah yang lurus bila sinar rabbani ini dinodai oleh peninggalan-peninggalan yang buruk daripada rekaan akal manusia yang tidak dapat menggemukkan badan dan tidak pula menghilangkan rasa lapar.

Kita ini, wahai ahli HALUAN adalah umat yang memiliki Al-Quran yang dibawa oleh Nabi kita sebagai manhaj (sistem) dan infrastruktur kehidupan kita. Al-Quraanul Karim, perjlanan hidup Rasul serta siasah Rasulullah saw dalam berdakwah bersama para sahabat sentiasa mengarah kita kepada hakikat kehormatan untuk membebaskan kita daripada membandingkan dengan risalah lain. Tidak ada risalah semawi sebelumnya yang dapat menandingi atau menyamai dengannya. Kerana risalah-risalah itu permulaan, sedangkan Islam adalah penutupnya. Juga tidak ada falsafah hidup yang dapat menandinginya, kerana ianya hanyalah rekaan manusia, sedangkan Islam adalah diciptakan oleh Allah swt Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksanan.

Inilah sumber perubahan dan kebangkitan umat, ianya jugalah yang semestinya membangunkan kita daripada tidur dan mimpi, seterusnya menjadi inspirasi dan motivasi untuk terus menyumbang tenaga, masa, kerehatan dan seluruh harta benda yang kita miliki. Allah swt berfirman

Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Qur’an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan (al-Maidah:48)

Apabila terdetik dalam hati Rasulullah saw dan para sahabat untuk menjenguk selain daripada al-Quran sebagai sumber tarbiah dan pembentukan, maka Allah swt menegur dengan firmanNya

Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak dari kamu sedikitpun dari (siksaan) Allah. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain, dan Allah adalah pelindung orang-orang yang bertakwa. Al Qur’an ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.(al-Jaasiyah:18-20)

Keyakinan ini telah menguatkan jiwa mukmin dahulu (adakah kita merasai dan menikmati kekuatan keyakinan ini?) bahawa risalah yang ada di hadapan Rasulullah saw adalah risalah yang dijadikan sandaran oleh yang lainnya sehingga Abu Bakar ra pernah berkata “Jika pengikat unta milikku hilang, nescaya aku dapatkan dalam Kitabullah.”

2.2. MERASA ‘IZZAH SEBAGAI PENDUKUNG RISALAH

Telah termatri dalam jiwa mukmin adalah merasa ‘izzah dengan kesempurnaan risalah Islam, mereka yakin bahawa risalah yang ada di hadapan mereka merupakan sistem yang bersepadu, menyatukan segala yang mereka kehendaki, menancapkan dalam ruh mereka bahawa mereka manusia yang paling tinggi, paling utama dan paling mulia. Allah swt berfirman

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran:110)


Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (al-Baqarah:143)

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan..(al-Hajj:78)

Dengan firmanNya itu seolah-olah Allah berkata kepada mereka (kita)…
Disebabkan kamu membawa risalah yang agung, universal dan bersepadu, disamping kamu juga mengemukakan manhaj yang komprehensif kepada manusia, maka kamu menjadi orang yang paling sempurna.

Oleh kerana itu ajarkanlah al-Quran kepada mereka (anggota masyarakat) wahai ahli-ahli HALUAN, agar mereka merasa mulia dengan kemanusiaan mereka, bukan kerana warna kulit, tanah air, atau suku bangsa.

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.(al-Hujurat:13)

Nabi saw bersabda, maksudnya;
Manusia dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang Ajam, dan juga tidak ada kelebihan bagi orang berkulit merah atas orang berkulit hitam kecuali taqwa.

Penghormatan ini layak mereka terima kerana mereka pembawa obor cahaya, tidak mengharapkan yang lain daripada manusia melainkan supaya mereka menerima dan mengikuti kebenaran.
Manusia itu, wahai ahli-ahli HALUAN, dari pandangan Islam ada yang mukmin, yang mempunyai hak dan kewajipan sama seperti kita, ada pula yang tidak beriman, yang telah tergelincung daripada jalan pendakian untuk mencapai ketinggian insan. Dia telah terjatuh daripada martabat insani kepada martabat haiwani, bahkan martabat yang lebih rendah daripada itu.


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.(al-A’raaf:179)

Prinsip ini, wahai ahli HALUAN yang dikasihi, telah terpahat kukuh di dalam jiwa golongan salaf. Mereka merasa tinggi dan mulia dengan kondisi insaniahnya. Perasaan mulia mempunyai dua impak:

  1. Ia merasa malu terhadap dirinya sendiri apabila terjebak dalam perbuatan yang mengurangkan nilai insaniahnya itu.
  2. Ia menghulurkan kasih sayang kepada saudaranya, dan bersikap keras terhadap selain mereka.

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir….(al-Fath:29)

Al-Quran telah menanamkan ke dalam jiwa Rasulullah saw dan para sahabat bahawa tingkatan sosial dalam masyarakat bukan berdasarkan kepada kekayaan dan keturunan tetapi ditentukan oleh parameter taqwa. Al-Quran juga menjelaskan kepada mereka bahawa dunia ini di sisi Allah tidak boleh dibandingkan dengan akhirat walaupun hanya seberat sayap nyamuk. Setelah manusia diperkenalkan dengan berbagai gelaran, kini semuanya sudah terbalik 360º, kini yang menjadi ukuran adalah:


(yaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap ta`at, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur.(Ali Imran:17)

Ketika fikrah baru ini meresap dalam jiwa bangsa Arab, mereka lahir sebagai satu makhluk yang lain. Mereka merasakan bahawa mereka adalah makhluk yang hidup sedangkan selainnya mati.


Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? (Al-A’raf:122)

2.3. YAKIN MENDAPAT PERTOLONGAN ALLAH SWT

Al-Quran yang mulia telah menghapus istilah putus asa di dalam jiwa mereka, diganti dengan prinsip bahawa mereka adalah golongan yang mendapat pertolongan dan pengukuhan. Kemenangan bukanlah semata-mata kerana kuantiti dan bekalan persiapan, juga bukan kerana kekuatan. Namun kemenangan itu kerana peneguhan daripada Allah swt terhadap diri mereka.

Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul, (yaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan. Dan sesungguhnya  tentara Kami itulah yang pasti menang.(as-Syaffat:171-173)

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.(An-Nuur:55)


Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat),(al-Mukmin:51)

Allah meneguhkan dengan berbagai-bagai peristiwa yang nyata

Dan ingatlah (hai para muhajirin) ketika kamu masih berjumlah sedikit, lagi tertindas di muka bumi (Mekah), kamu takut orang-orang (Mekah) akan menculik kamu, maka Allah memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikan-Nya kamu kuat dengan pertolongan-Nya dan diberi-Nya kamu rezki dari yang baik-baik agar kamu bersyukur.(Al-Anfaal:26)


Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(Ali Imran:126)

Allah telah menetapkan: “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.(Al-Mujadalah:21)

Ini bererti bukan mereka tidak melakukan persiapan. Bahkan telah berlaku kehendak Allah bahawa kekuatanNya berada disebalik usaha. Maka Dia memerintahkan supaya kita mengadakan persiapan.


Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah.(Al-Anfaal:60)

Walau bagaimanapun wasail untuk mencapai kemenangan itu, wahai ahli-ahli HALUAN yang dikasihi, yakinlah: kekuatan Allah swt, para malaikatNya yang mencampakkan rasa takut ke dalam hati musuh, ribut yang merempuh mereka, serta kalimah (ketentuanNya) Allah yang digunakan untuk mengatur kerajaanNya sebagimana firmanNya


Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.(Yasin:82)

Semua bentuk kekuatan ini ada di hadapan orang-orang beriman, jika mereka memilikki rasa izzah terhadap risalah yang mereka bawa dan menghargai nilai kemanusiaannya, Allah swt PASTI akan membantu mereka


Dan Allah menghalau orang-orang yang kafir itu yang keadaan mereka penuh kejengkelan, (lagi) mereka tidak memperoleh keuntungan apapun. Dan Allah menghindarkan orang-orang mu’min dari peperangan. Dan adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Dan Dia menurunkan orang-orang Ahli Kitab (Bani Quraizhah) yang membantu golongan-golongan yang bersekutu dari benteng-benteng mereka, dan Dia memasukkan rasa takut dalam hati mereka. Sebahagian mereka kamu bunuh dan sebahagian yang lain kamu tawan.(Al-Ahzab:25-26)

Ahli-ahli HALUAN yang dikasihi, itulah tiga fikrah yang ditanamkan Allah dalam jiwa generasi pertama, mereka meyakini bahawa:

  1. Risalahnya adalah risalah paling sempurna, di antara risalah-risalah lain
  2. Kemanusiaannya juga adalah paling sempurna
  3. Mereka mendapat kemenangan dan bantuan daripada Allah swt

Pada masa sekarang ini sangat sukar untuk menemui mukmin yang meyakini tiga perkara tersebut, kecuali hanya segelintir sahaja. Gelombang pemikiran taklid sehingga menimbulkan rasa kagum kepada dunia luar; risalah mereka, kejayaan mereka dan sistem pendidikan mereka itulah sekarang ini lebih dominan.

Rasa ta’ajub ini, wahai ahli HALUAN, telah berjaya melemahkan jiwa kebanyakan kita, seklai gus menghakis dan menghilangkan rasa ‘izzah terhadap risalah sendiri (Islam) serta ‘izzah dengan kepimpinan bukan Islam. Akibatnya pertolongan Allah swt tidak datang kepada  kita. Kelemahan ini telah meresap masuk ke dalam jiwa para pemimpin umat Islam dan tokoh-tokoh yang membentuk arus public opinion yang telah meneguk daripada sumber asing sehingga mereka menjadi mabuk. Kita ingin agar kita merasa ‘izzah dengan risalah ini, iaitu risalah langit yang turun ke bumi. Kita ingin agar kita merasa mulia  dengan dakwah ini. Kita ingin agar kita memperbaiki hubungan kita dengan Allah swt, tunduk dan patuh kepadaNya, sehingga datang pertolonganNya kepada kita, dengan tidak perlu kita tanya bagaimana bentuknya dan bila masanya.


Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.(Al-Thaaq:3)

3. HARAPAN

Marilah kita persiapkan diri kita untuk melalui jalan hidup yang panjang, penuh liku-liku dan ranjau. Marilah kita buka hati kita untuk mengambil ‘ibrah dan mengutip mutiara pengajaran untuk menyuluh sepanjang perjalanan yang penuh dengan ujian dan tipu daya. Marilah kita mempersiapkan bekalan kita, membuat kajian berpandukan kitab Allah swt bukan semata-mata bertujuan untuk memperoleh kefahaman dan analisis ilmiah. Tujuan kita adalah untuk membimbing ruh dan akal untuk memahami makna-makna umum yang diutarakan dalam Kitabullah, sehingga kita mempunyai kaedah untuk memahami Al-Quranul Karim ketika kita membacanya. Dengan demikian kita telah melakukan sunnah tadabbur dan mengambil pelajaran sebagaimana disebut dalam kita Allah swt

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur’an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mau mengambil pelajaran?(al-Qamar:32)

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.(Shaad:29)

Wahai ahli-ahli HALUAN yang dikasihi, marilah kita dengan penuh rasa izzah dan jiddiah membina semula keyakinan ini untuk menjadi obor penyuluh jalan dan sumber tenaga yang menjadi pendorong dalam tindakan. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab tatawu’ ini kita tidak mampu bergantung kepada kecanggihan perancangan dan ketegasan arahan sahaja TANPA ada hati-hati yang hidup yang telah dipenuhi dengan keyakinan, kreativiti dan terus dibekali dengan sirami ruh iman yang ditimba melalui tadabbur, munajat, tadarru’ dan taubatnya didini hari. Semoga Allah swt menerima amalan kita yang sedikit sebagai pendingin api neraka dan anak kunci pembuka pintu syurga dengan rahmat dan belas kasihanNya. Amin.

 
Leave a comment

Posted by on January 12, 2010 in Artikel, Kepimpinan HALUAN

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: