RSS

Program Ziarah Dakwah Kemboja Melakar Sejarah

23 May

HALUAN Kelantan dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Pejabat Mufti Kemboja telah berjaya mengadakan Ziarah Dakwah dan Khidmat Masyarakat Kemboja  pada 13 – 17 Mei yang lalu. Seramai 36 orang yang terdiri daripada ahli HALUAN Kelantan dan mahasiswa KTD menyertai rombongan tersebut yang diketuai oleh Hj Mohd Nasir Saat, YDP HALUAN Kelantan. Rombongan ini adalah memenuhi jemputan dari Mufti Kemboja, Dato’ Kamaruddin Yusof yang telah mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan HALUAN Kelantan di Kota Bharu pada bulan Disember 2010 yang lalu.

Rombongan ziarah dakwah ini dimulai dengan sesi sarapan dan taklimat bersama Mufti Kemboja, Dato’ Hj Kamaruddin Yusof pada 14 Mei di pejabat beliau yang serba sederhana. Ruang di pejabat beliau turut dijadikan sebagai sebuah sekolah dan asrama bagi menempatkan seramai 80 pelajar-pelajar terpilih dari pelbagai kampung Islam di Kemboja. Ketika sesi taklimat, Dato’ Mufti berkongsi pengalaman perit getir beliau dan saki baki rakan beliau berjuang untuk meneruskan kehidupan terutama saat kesengsaraan di zaman regim Pol Pot. Beliau juga berusaha sedaya upaya mempertahankan dakwah Islam di Kemboja dengan bantuan beberapa orang temannya dan anak muridnya. Beliau hampir 10 tahun menjadi Mufti Kemboja dan tidak pernah menerima sebarang gaji dari kerajaan Kemboja, namun kerajaan memberi kebebasan kepada umat Islamnya membina institusi pendidikan dan ekonomi sendiri. Sehingga saat ini, Pejabat Mufti mengurus lebih daripada 20 buah sekolah yang dikenali Madrasah Al Ni’mah Al Islamiah. Namun keadaan sekolah serba dhaif dan kekurangan guru. Majoriti guru tidak bergaji. Manakala pelajar sekolah rendah masih belum memiliki kurikulum pendidikan.

Misi ziarah diteruskan dengan mengunjungi perkampungan Islam di Rokapram, Kampung Cham, 3 jam dari Phnom Penh. Kampung ini masih tidak memiliki bekalan elektrik. Rombongan telah disambut meriah oleh penduduk kampung yang diketuai oleh Imam Masjid Nuruddin dan Mudir sekolah.

Rombongan bermalam di beberapa buah rumah di kampung tersebut. Keesokan harinya, pelbagai program khidmat masyarakat telah diadakan. Sejumlah 700 orang warga masyarakat Rokapram Baru hadir menyertai program tersebut. Antara program yang mendapat sambutan adalah pemeriksaan kesihatan percuma. Seramai 6 orang doktor dari Kelab Kesihatan HALUAN Kelantan yang diketuai oleh Dr. Mohd Arif Rasyid mendidik berbakti merawat sekitar 240 orang penduduk. Bagi anak-anak yang berumur 5-8 tahun, mereka bergembira sakan menyertai sukaneka yang dikendalikan oleh mahasiswa KTD. Manakala anak-anak yang berumur dari 9 tahun ke atas menyertai program motivasi di masjid yang sampaikan oleh En. Razali Maarof, Pengurus Pembangunan & Hubungan Luar KTD.

Dalam masa yang sama juga, gotong royong mengecat bangunan sekolah turut dijalankan bersama di antara ahli HALUAN, mahasiswa KTD dan penduduk kampung. Terdapat hampir 470 orang pelajar belajar disekolah tersebut yang masih lagi ketinggalan dari segi silibus pembelajaran dan hanya di ajar oleh 9 orang guru, 7 daripada mereka tidak bergaji. Dua orang lagi dibayar gaji oleh pejabat Mufti dengan bayaran 100 Dolar US sebulan, dan mereka merupakan lepasan Ijazah dari Universiti Al Azhar Mesir. Luarbiasanya lagi, Mudir sekolah tersebut yang telah berkhidmat selama 17 tahun mengajar anak-anak Islam di kampung tersebut tidak pernah menerima sebarang gaji bulanan.     

Program berakhir dengan sesi penyerahan sumbangan. Sejumlah 1 tan beras telah diagihkan kepada 100 buah keluarga fakir miskin. Sumbangan turut diberikan kepada Masjid Nuruddin bagi membantu menyelenggara kos generator. Para guru juga turut menerima sedikit sumbangan. Dan semua para pelajar sekolah tersebut turut menerima sumbangan wang tunai dan alatulis sekolah bagi menggembirakan hati mereka. Pelbagai pakaian wanita, tudung dan kopiah turut diedarkan kepada masyarakat. Menurut Mudir sekolah, inilah program kemasyarakatan terbesar dan menyeluruh yang pernah diadakan di kampung mereka. Para peserta rombongan turut di saji dengan jamuan makan tengahari hasil daripada sumbangan seekor lembu untuk menjayakan program tersebut. Rombongan HALUAN dan KTD telah berangkat pulang pada sebelah petang menuju ke Phnom Penh semula.  

Hari keempat, rombongan di bawa melawat tempat-tempat bersejarah di Phnom Penh, khususnya bagi melihat kesan sejarah kekejaman regim Pol Pot saat memerintah Kemboja yang telah menyiksa dengan kejam dan membunuh ribuan rakyatnya sendiri. Rombongan pada hari itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Negeri Kelantan, YB Abdul Fattah Mahmood. Antara tempat yang dikunjungi adalah Killing Field dan Toul Sleng Genocide Museum.

Majlis perasmian penutup Ziarah Dakwah & Khidmat Masyarakat Kemboja 2011 telah diadakan pada sebelah petang. Majlis telah disempurnakan oleh YB Abdul Fattah Mahmood. Dalam ucapan beliau, YB mengkagumi usaha dakwah yang telah dilakukan oleh Dato’ Mufti dalam menyebasluaskan dakwah kepada umat Islam di Kemboja.

Alhamdulillah, semoga misi kerdil ini membawa kebaikan dan meningkatkan keimanan kepada semua peserta yang menyertainya. HALUAN Kelantan merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah membantu samada secara langsung atau tidak langsung, khususna kepada warga pejabat Mufti Kemboja.

 
Leave a comment

Posted by on May 23, 2011 in Aktiviti, Antarabangsa

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: