RSS

Pra Ramadhan: “Ustaz, Ustaz Puasa Tak Hari Ni?”

24 Jul
“Ustaz, ustaz puasa tak hari ni?”

Awal pagi itu, sekumpulan murid perempuan darjah 5 Ibn Majah bertanya demikian pada saya.

“Awak semua puasa ke?”

“Mestilah puasa, ustaz.”

“Bagus, bagus. Molek benar tu.” saya memberi pujian dalam loghat atau slang kelate.

Sejak bulan lepas, saya perhatikan semakin ramai murid-murid sekolah ini yang rajin melaksanakan puasa sunnah, terutama Isnin dan Khamis, tambahan lagi dengan semakin hampirnya bulan Ramadhan.

Mereka bukan dipaksa atau disuruh, tetapi sangat jelas KECINTAAN mereka untuk melaksanakan ibadah itu bersama rakan-rakan yang lain terutamanya murid-murid tahap 2, iaitu tahun 4,5 dan 6. Kadang-kadang, rasa tercabar juga saya, apabila melihat mereka yang sekecil itu sudah merajinkan diri untuk ‘bersusah-susah’ berpuasa.

Memang tidak ada guru yang menyuruh atau memaksa, tetapi guru hanya membimbing, mendidik dan menceritakan kelebihan melakukan ‘WARMING UP’ sebelum masuk ke Ramadhan.

Tidak sangka pula saya, Khamis baru-baru ini, lebih separuh daripada murid sekolah itu berpuasa. ‘Boleh hitung dengan jari’ bilangan yang tidak berpuasa dan makan di kantin pada hari itu.

Siapa yang suruh? Tidak ada yang menyuruh mereka melainkan atas kesungguhan dan inisiatif mereka sendiri.

Lalu, saya jadi kagum. Kagum dengan kesungguhan mereka walaupun pada umur sekecil itu.

 

BERSUSAH-SUSAH UNTUK MASA DEPAN AKHIRAT, IA SATU YANG MENGUNTUNGKAN

Satu hadith yang pernah dikongsi oleh murabbi saya, Ustaz Abdul Hadi Othman yang berbunyi:

تَخَاشَنُوا فَإنَّ النِّعْمَة لا تَدوا

Maksudnya :

“Biasakanlah diri kamu dengan kesusahan sebab nikmat kesenangan hidup tidak kekal selama-lamanya.”

Sungguh, latihan puasa itu adalah latihan kerohanian luar biasa. Untuk murid-murid sekecil mereka, perkara itu adalah satu yang luar biasa bila mereka sendiri menyatakan kesungguhan untuk melaksanakannya.

Latihan puasa menyebabkan kemahuan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah semakin kuat.

Kenapa?

Kerana nafsu semakin melemah kerana keinginannya tidak dipenuhi. Bila nafsu melemah, maka fitrah kehambaan itu menjadi kuat membuatkan hati dan jiwa kita lebih bersih, membuatkan perasaan ingin mendekati Allah itu semakin membuak-buak.

Biasanya, pada waktu rehat, murid-murid saya ini akan ke kantin untuk makan. Tetapi, bila berpuasa, maka dewan sekolahlah yang turut digunakan sebagai musolla menjadi ‘tempat lepaknya’.

Saya mengajak mereka untuk menunaikan solat sunat dhuha bagi mengisi kekosongan masa yang ada. Dengan mudah, tanpa banyak bicara, mereka mengambil wudhu’ dan terus menunaikannya. Bukan seorang dua, tetapi ramai.

Bahkan, yang tidak berpuasa pun ikut turut serta apabila melihat kawan-kawannya solat.

MasyaAllah. MasyaAllah.

Moga mereka ini, Allah selamatkan kelak daripada api neraka dan merahmati mereka dengan syurga. AMIN.

 

‘WARMING UP’ MENUJU HARI KEBANGKITAN

Barangkali sebelum ini, saya pernah menyebut tentang persediaan kita sebelum Ramadhan sebagai ‘warming up’ supaya tidak lelah ketika menerjah masuk Ramadhan.

Namun, yang lebih besar daripada itu adalah, puasa sebenarnya merupakan ‘warming up’ untuk kita selamat ketika di hari kebangkitan kelak.

Hari kebangkitan itu kelak akan dilalui oleh semua manusia dengan pelbagai perasaan dan riak muka. Hari itu, ada mungkin yang akan terkejut. Hari itu, mungkin ada yang akan kelemasan dalam kebanjiran peluhnya sendiri. Hari itu, mungkin ada yang berdiri senang, bahagia terasa damai segalanya. Bahkan, hari itu mungkin ada yang baru sibuk untuk nak beramal soleh.

Mafhum sabda Rasul s.a.w. yang bermaksud :

“Sesungguhnya peluh manusia pada hari Kiamat melimpah-limpah di bumi sedalam tujuh puluh hasta dan ia sampai kepada mulut-mulut dan telinga-telinga manusia.” [HR Muslim]

Lihatlah amaran daripada Rasul s.a.w. supaya kita menyelamatkan diri dengan beramal di dunia.

Bencana ini dapat dihalang dengan keimanan yang sebenar terhadap Allah s.w.t.

IMAN kepada Allah s.w.t. itu menolaknya untuk berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah setiap hari.

Semakin hari, semakin dekat dengan Allah. Kerana ia tahu, jauh daripada Allah akan membuatkannya semakin mendekati api neraka.

Jauh daripada Allah bermakna jauhlah daripada syurga.

Maka, berpuasa adalah salah satu daripada amalan yang mendekatkan kita dengan Allah.

Berpuasa di hari yang panas terik di dunia, akan menyelamatkan kita di hari yang panas terik di akhirat kelak. Panas di akhirat kelak, sejengkal di atas kepala kita. Bayangkan, Matahari yang sekarang berpuluh ribu kilometer jauhnya dari kita pun sudah terasa kehebatan bahangnya, apalagi yang sejengkal di atas kepala kita.

Kita tidak akan sanggup menghadapinya. Kita tidak akan sanggup.

Justeru, mulakan persediaan dari sekarang. Usah ditangguhkan lagi.

Jika kita mempunyai kemampuan untuk berpuasa sunat, maka latihlah diri kita untuk berpuasa. Berpuasa hakikatnya bukan semakin melemahkan atau meletihkan, tetapi sebaliknya semakin menguatkan dan membangunkan jiwa.

Bukankah nafsu telah melemah dalam jiwa kita bila kita berpuasa? Maka, bila nafsu telah melemah, fikiran menjadi bersih, hati bertambah jernih. Ketika itu, tenaga imanlah yang lebih kuat mendominasi jiwa.

Justeru, bukankah ia satu-satunya sumber kekuatan bagi kita, orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah?

 

PENUTUP : MEREKA PENYAMBUNG GENERASI

Dalam sirah kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, beberapa peristiwa besar berlaku dalam Ramadhan.

Bahkan, ketika bulan lain pun, mereka telah biasa berlapar. Ingatkah lagi kita pada peristiwa Nabi s.a.w. yang mengikat perutnya kerana sudah beberapa hari tidak makan?

Mereka lapar, namun kerja-kerja mereka terus berjalan. Islam tetap disampaikan meskipun dalam keadaan yang susah. Hakikatnya, kelaparan itu adalah kemenangan buat jiwa. Sentiasa kekenyangan menyebabkan kelelahan jiwa.

Buat murid-murid saya sendiri, tahniah atas kesungguhan itu ! Teruskan.

Saya jadi terinpirasi dengan anda semua. Terdorong untuk lebih kuat beramal.

Saya baru berjumpa dengan murabbi dan sahabat saya sendiri, pak cik Razali Maarof baru-baru ini. Anaknya ada seorang bersekolah di sekolah ini. Anaknya baru darjah satu.

Pak Cik Razali berkongsi, ‘Ridhwan (nama anaknya) baru-baru ni balik sekolah bertanya, “Abi, ummi, esok (Khamis) Ridhwan nak berpuasa, boleh tak?”

Itu kisah si budak darjah satu. Bukan ada siapa pun yang menyuruhnya. Bahkan, murid-murid pra yang berumur 5-6 tahun pun cuba-cuba untuk berpuasa.

Dua orang cuba berpuasa hari itu. Tiada yang menyuruh. Ketika kawan-kawan yang lain pergi rehat dan makan, mereka tidak bersama kerana berpuasa.

Biarpun mereka berbuka tengah hari itu kerana ‘dah separuh lembik’, tetapi sekurang-kurangnya mereka yang berumur sekecil 5-6 tahun itu sudah mula membiasakan diri dengan amalan-amalan yang baik sebegitu.

Moga-moga, mereka ini membesar terus sebagai hamba Allah yang soleh dan melaksanakan sistem Allah dalam kehidupan mereka.

Siapa lagi yang mampu diharapkan hari ini kalau tidak yang terhasil daripada didikan akhirat?

Tidak ada.

Bimbinglah dan didiklah anak-anak supaya menjadi generasi akhirat !

Tulisan Ustaz Afdholul Rahman Che Ani, tenaga pengajar di Sekolah Rendah Ugama Al-Hilal, Kota Bharu Kelantan.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: