RSS

Kesungguhan Merancang Tarbiyah Kita

23 Nov

Medan latihan tidak sama dengan medan sebenar. Medan sebenar akan menguji sebenar-benarnya apa yang kita terima sebanyak-banyaknya selama ini.

Kadang, yang hebat di medan latihan, belum tentu hebatnya di medan sebenar. Kadang, yang nampak biasa di medan latihan, dia itu luar biasa sekali di medan sebenar.

Tetapi yang membawa kesungguhan itu bermula dari medan latihan hinggalah ke medan sebenar, maka dia adalah yang lebih luar biasa !

Maka, di sini sebenarnya yang ingin ana fokuskan adalah pada pengurusan tarbiyah kita.

Ya, tarbiyah itu sesuatu yang perlu. Bukan setakat perlu, tetapi yang paling urgen dan paling utama.

Kenapa ia adalah yang urgen dan paling utama?

Mari kita lihat bagaimana tarbiyah mampu menjaga kita.

BAGAIMANA TARBIYAH MENJAGA KITA, LIHATLAH DARI MEREKA

Kalau nak ditunjukkan semua bukti daripada sirah Nabi, memang tidak akan habis post ni. Bukan setakat sirah Nabi, tetapi kisah-kisah para anbiya’ terdahulu pun sudah membuktikan.

Kalau berlepas diri daripada tarbiyah, walaupun duduk dekat sangat dengan sistem tarbiyah, maka ikatannya dengan Allah akan semakin longgar.

Lihat sahaja kepada contoh isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth. Dilingkungi oleh dua orang Nabi yang bertanggungjawab mentarbiyah ummatnya, tetapi mereka itu, semakin dekatkah dengan Allah, atau semakin menjauh?

Mereka semakin menjauh. Itu orang yang hidup bersama dengan orang yang ada tarbiyah.

Zaman Nabi Muhammad s.a.w. pula. Ingat lagi pada peristiwa Abu Zar al-Ghifari dengan Bilal ketikamana Abu Zar menggelar Bilal sebagai anak hitam?

Kalau tidak Rasul mentarbiyah mereka, mungkinkah Abu Zar selepas itu akan pergi kepada Bilal, minta kepada Bilal dengan penuh hina agar memijak mukanya?

Mungkinkah?

Tak. Tak mungkin.

Kerana melalui tarbiyahlah, Saidina Umar mampu bergelar al-Faruq.
Kerana melalui tarbiyahlah, Khalid Al-Walid mendapat gelaran ‘saifullah’.
Kerana melalui tarbiyahlah, Abu Ubaidah mendapat jolokan ‘Aminul Ummah’.

PROSES TARBIYAH INI, AKHIRNYA KE MANA?

Sebenarnya, ke mana proses tarbiyah ini ingin bawa kita?

Adakah sekadar mendapat gelaran-gelaran seperti yang ana sebutkan tadi?
Atau sekadar suka-suka untuk isi masa lapang kita?
Atau sekadar ada hanya untuk bagi cukup syarat sahaja?

Kalau ada yang berfikiran begitu, nampaknya kita telah tersilap.

Proses ini sebenarnya tak lain adalah untuk meninggikan kedudukan kita di sisi Allah. Meletakkan kita pada setinggi-tinggi kedudukan yang Allah mahukan, itulah yang sebenarnya.

Proses tarbiyah ini bukan untuk orang lain sebenarnya, tetapi untuk kita.

Ana ulang, UNTUK KITA.

Ia tidak mengubah apa-apa kalau kita berlepas diri daripadanya, ataupun melaksanakannya sambil lewa.

Bahkan, sebenarnya ia hanya cuma membuang masa kita sahaja bila kita tidak bersungguh melaksanakannya.

Kerana apa?

Kerana ia tidak menghasilkan apa-apa bila kita tidak bersungguh menjaganya.

Mungkin nanti ada yang berkata, “Nta tahu mana, mungkin dengan sedikit itu dah melukakan jahiliah.”

Lalu, ana ingin bertanya, mungkinkah jahiliah yang sedia terancang akan terefek hanya kerana kerja kita yang kurang bersungguh dan ala-balai(sambil lewa) itu?

Tidak. Bahkan, luka sekecil calar pun, mungkin susah hendak ditorehkan pada jahiliah.

Kerana mereka melaksanakan perancangan mereka penuh kesungguhan, tetapi kita menyediakan diri kita untuk proses ini dengan penuh kelemahan.

Mana mungkin ada persamaan.

[Lemah perancangan + Lemah bergerak] vs [Kesungguhan Merancang+ Kesungguhan Bergerak]

Siapa yang akan menang? Merekalah yang menang. Kita cuma masih duduk selesa memerhatikan.

Akhirnya, kesannya akan balik kepada kefahaman kita semula. Yang selama ini kita fahami dan yakini, akhirnya akan digoyahkan oleh kemenangan sistem yang jahiliah sediakan.

Kita disibukkan oleh sistem yang telah diasimilasikan oleh jahiliah.
Iltizam dengan amal-amal tarbawi pun mula terhakis. Dan lama-kelamaan, tenaga kita habis digunapakai oleh jahiliah.

Yang kita tinggalkan untuk yang lebih utama dan urgen untuk diri kita, iaitu tarbiyah hanyalah saki-baki tenaga kita yang ada, iaitu ‘tenaga kepenatan’.

Bila dah penat, sumbangan tidak lagi maksimum. Mungkin nanti ada pula yang berkata untuk mempertahankan, “Akhi, sekurang-kurangnya dia datang. Walaupun letih, dapat pahala.”

Yalah, itu memang betul. Tetapi, ketika itu, bayangkanlah sudah sebesar mana jahiliah menang ke atas kita.

Jahiliah menyerahkan sepenuh tenaganya untuk menggerakkan sistemnya, tetapi kita menyumbangkan saki-baki tenaga last yang kita ada untuk gerakkan tarbiyah ini.

Lalu, apa yang kita sudah sumbangkan ketika itu untuk gegarkan mereka itu kalau hanya hasil kerja dari saki-baki tenaga yang mampu kita sedia?

BAGAIMANA MENGUBAH? MULA DARI TARBIYAH DIRI.

Tarbiyah diri.

Itu yang penting sekarang.

Tahu, semua pun tahu. Tetapi, berapa ramai yang buat apa yang perlu?

Al-Quran, siapakah yang benar-benar melaziminya setiap hari?

Solat, siapakah yang berusaha di awal waktu terutama waktu Subuh?

Siapakah yang berusaha merancang qiamullail sendiri di tengah-tengah kepayahan untuk bangun malam ini?

Dan siapakah di kalangan kita yang merancang apa yang mampu disumbangnya dengan ‘sepenuh tenaga’, ana ulang, dengan SEPENUH TENAGA terhadap proses tarbiyah dirinya dan sahabat-sahabatnya di sini?

Sentiasa berfikir hari ke hari untuk meningkatkan produktiviti tarbiyah.
Sentiasa berfikir hari ke hari untuk memperbaiki prestasi amal tarbawi.

Dan fikir itu tidak hanya berhenti setakat fikir, tetapi kemudian ia diterjemah dalam bentuk lahir.

Yang benar-benar serius, akhirnya akan melihat hasil dari keseriusannya.
Yang tidak serius, bertahun-tahun dalam tarbiyah pun, akan diulang benda yang sama sahaja walau duduk pada waqi’ berbeza.

Sedang, norma tarbiyah tidak begitu. Tarbiyah adalah Untuk Perubahan.
Yang melaluinya berusaha untuk menjadi tertingkat dalam sistem yang Allah nak, bukan sistem yang jahiliah nak.

Yang melaluinya, akan berubah dari satu tingkat kepada tingkat yang lain. Yang melaluinya, menginginkan orang lain pun mendapat sesuatu yang serupa.

PENUTUP : TARBIYAH UNTUK PENINGKATAN

Proses tarbiyah ini bukan mukjizat. Kalau sekali ikut, kita hendak menjadi hebat, kita pasti akan terhenti kekecewaan.

Tetapi proses tarbiyah ini adalah untuk menguji istiqamah dan kesungguhan. Yang bersungguh, Allah akan beri bonus.

Bonus yang bagaimana?
Buat kerja dan kita akan tahu bagaiman rasanya.

Yang tak bersungguh, musuh cuma tertawa melihat dari luar. Kerana dia tahu kita tak mampu berbuat apa-apa dalam kelemahan yang ada.

Yang mengadu lemah, jagalah tarbiyah, kerna nanti Allah akan memberi quwwah.
Yang mengadu susah, peliharalah tarbiyah, kerna nanti Allah akan mempermudah.

Kadang kita suka memberi alasan untuk lemah daripada mencari alasan untuk kuat. Akhirnya, hati kita yang akan tenat.

Kadang kita tak benar-benar menjaganya, dengan hanya sekali dua kita bersusah-payah untuknya, kita rasa kita sudah buat pelbagai perkara. Akhirnya, berhenti rehat lebih lama daripada bekerja.

Mungkinkah berehat daripada proses tarbiyah?
Entah. Tanya diri dan muhasabah. ^^

Afdholul Rahman Che Ani
Perkongsian Bersama Sahabat-Sahabat dit Jordan

 
Leave a comment

Posted by on November 23, 2011 in Artikel, Dakwah, Motivasi, Tarbiyah

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: