RSS

Kenali HALUAN

HALUAN adalah singkatan kepada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 1988. Mulai Januari 2009, HALUAN dikenali sebagai Pertubuhan Hinpunan Lepasan Pendidikan Malaysia.

Ianya merupakan sebuah NGO yang berteraskan kepada prinsip dan nilai akhlak Islam, mencurahkan bakti kepada setiap lapisan masyarakat yang memerlukan tanpa batas kepercayaan agama, bangsa, politik mahupun geografi.

Pada peringkat awal penubuhan, aktiviti HALUAN terbatas kepada usaha-usaha kebajikan untuk manfaat ahli-ahli. Di peringkat ini, aktiviti-aktiviti HALUAN tertumpu kepada program-program seperti seminar dan kaunseling pelajar dan remaja, pendidikan keluarga, kursus-kursus berkaitan ekonomi dan keusahawanan, dan juga kem-kem motivasi dan pengurusan. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut juga melibatkan masyarakat umum bukan dari kalangan ahli, ianya agak terbatas.

Sejak tahun 2002, dengan peningkatan keahlian dan kemampuan mereka terbentuk baik, HALUAN mula melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Perkembangan terancang ini melibatkan aktivis-aktivis HALUAN turun membantu mengubati masalah-masalah sosial, di samping bantuan-bantuan kepada masyarakat miskin, terbiar, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa bencana dan seumpamanya. Usaha ini juga dapat memberi ruang kepada mereka yang mampu dan ikhlas dari kalangan masyarakat untuk menjadi relawan bersama HALUAN dengan usaha yang kemas dan tersusun.

Aspirasi HALUAN – Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. Sebagai perkumpulan graduan yang prihatin, HALUAN memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti bantuan pendidikan, bimbingan dan kemasyarakatan untuk memenuhi tanggungjawab asas kemanusiaan, di samping menunaikan kewajipan kepada Pencipta dalam membina masyarakat yang memahami dan menunaikan tanggungjawab, hidup dalam harmoni, berwawasan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Oleh itu, ahli-ahli dan aktivis-aktivis HALUAN bersandar kepada motto mereka, iaitu ”Berakhlak, Mendidik dan Berbakti”. Adalah menjadi aspirasi HALUAN untuk bersama masyarakat dalam apa juga bentuk aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan ruang-lingkup motto tersebut.

Ahli-ahli HALUAN kini bertanggungjawab untuk bergerak ke hadapan, bersedia dan bangga untuk membantu, supaya sentiasa dirasai kehadiran mereka dalam masyarakat, tanpa unsur-unsur kemegahan atau kepentingan diri atau pihak-pihak tertentu. Secara umumnya, objektif kepada aktiviti-aktiviti HALUAN adalah seperti berikut:

  • Membantu kerajaan dalam menangani masalah sosio-ekonomi terutama dalam aspek pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, saran keluarga tunggal, miskin dan anak yatim.
  • Mengekalkan semangat dan sifat prihatin dalam masyarakat Malaysia untuk menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan masyarakat.
  • Menjadi bahan perantara penderma dan penerima derma.

Cawangan HALUAN

Organisasi HALUAN kini tersusun dengan baik, melibatkan pengurusan di peringkat pusat dan juga cawangan-cawangan di peringkat negeri.

  • HALUAN Cawangan Selangor
  • HALUAN Cawangan Kedah & Perlis
  • HALUAN Cawangan P.Pinang
  • HALUAN Cawangan Perak
  • HALUAN Cawangan Johor
  • HALUAN Cawangan Pahang
  • HALUAN Cawangan Terengganu
  • HALUAN Cawangan Kelantan
 

2 responses to “Kenali HALUAN

  1. yana

    July 1, 2010 at 4:17 pm

    semoga terus sukses.

     
  2. ina

    March 14, 2011 at 1:15 pm

    Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab- kitab) Taurat dan Injil, serta Al Quran. dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah At-Taubah 111-112)

     

Leave a comment